Sunday, February 08, 2009

Yang ke-101

Alhamdulillah, sedar tak sedar, jumlah entry di dalam blog ini sudah mencecah ke angka 100 dan ini yang ke-101. Jom, mari menyorot sejarah penubuhan bintangtimur-ac.blogspot.com! Aku berblog bukan kerana dipaksa sesiapa, bukan jua bertujuan untuk menandingi sesiapa. Mungkin kerana tangan ini gatal untuk mencoret, maka blog menjadi sasaran. Aku bukannya jenis yang suka menulis di dalam diary. Pernah mencuba, tapi tak menjadi. Ditambah dengan hobi melayari internet dan kemudahan internet yang senang diakses, aku nekad untuk terjun ke dunia baru ini.

Kenapa blogspot, bukan provider yang lain? Actually, dulu aku pernah try blogdrive tapi macam tak best. Masa tu, aku belum mengenali wordpress atau provider yang lain. Yang aku sering terjumpa adalah blogspot. Lalu, blogspot menjadi pilihanku sehingga sekarang.

Bintangtimur @ Eastar. Akhirnya nama itu yang diabadikan di ruangan maya ini setelah berusaha memerah otak memikirkannya. Huh, itu belum tahap memikirkan nama anak lagi tu.. Banyak faktor yang menjurus ke arah pemilihan nama ini. Sedari kecil, aku suka memerhatikan bintang. Semasa di MMP dulu pun, aku menganggotai Persatuan Falak Syarie MMP yang antara aktivitinya adalah mencerap bintang-bintang dan planet. Seronok! Jodohku dengan bintang dikuatkan lagi apabila naqibahku sewaktu aku di DQ menggelarkan kami anak-anak usrahnya ini sebagai 'bintang-bintang'. Terima kasih, K.Normi a.k.a. 'mak bintang'!

Perihal bintang juga diceritakan beberapa kali dalam Al-Quran, menggambarkan kebesaran Sang Pemilik Alam. Itu tentang bintang, makhluk Tuhan yang mampu mendamaikan hati yang rawan serta memberi pedoman kepada musafir di perjalanan. Aku berharap agar aku jua seperti itu. Seandainya tak mampu menjadi sebegitu, sekurang-kurangnya aku tidak menjadi kebencian Tuhan.

Tapi, kenapa bintang timur, bukan bintang barat/utara/selatan? Eh, takkanlah nak letak nama North Star. Itukan jenama kasut. Nanti, tak pasal-pasal pulak company tu saman aku sebab tiru nama dia. Ehee..sebenarnya, aku bangga menjadi orang timur dan bukankah sinar Islam itu sendiri bermula di Timur! Aku mengandaikan diriku ini sebagai Muslim yang bertanggungjawab untuk menjulang panji Islam itu, biarpun sekadar di ruangan blog yang picisan ini.

Walaupun sudah menjangkau 100 entry, aku masih belum berhajat untuk mengubah template blog ini. Aku senang dengan apa yang ada sekarang. Biarpun tanpa widget, glittering graphic ataupun music penghibur jiwa, aku masih mahu mengekalkan rekabentuk yang sama sehinggalah ke suatu masa yang belum pasti. Lagi pun, accessory tambahan hanya akan melambatkan!

Aku juga masih belum mahu meletakkan mana-mana entryku di bawah mana-mana label. Biarlah pengunjung sendiri yang melabelkan semua entry yang ada. Lagi pun, aku hanya menulis apa yang terlintas di benakku dan cukup malas untuk mengklasifikasikan entry yang bakal aku post sama ada dalam bahasa Melayu atau Inggeris. Kadang-kadang ianya berupa pengalaman peribadi, kekeluargaan, dan persahabatan. Tidak kurang juga tentang politik dan hal ehwal semasa. Akademik dan karier juga. Yang masih belum ada, tentang cinta!

Sebelum aku menamatkan entry ini dan kembali ke meja studi, aku ingin melafazkan sesuatu.

"Terima kasih tak terhingga aku ucapkan kepada pengunjung-pengunjung blog ini! Semoga kalian mendapat manfaat walaupun sedikit cuma. Komentar kalian sekurang-kurangnya dapat membuka mindaku tentang sesuatu perkara, terus, menjadikan aku lebih bersemangat untuk menjadi blogger".

P/S:

1- Selamat menempuhi Mid-sem exam kepada sahabat-sahabat di UIAM. May success be ours..ameen!

2- Sudah terang lagi bersuluh: Siapa pemimpin berjiwa rakyat, siapa pula mereka yang khianat! Bukalah mata, hati dan minda dalam menilai sesuatu. Yakinlah, kebaikan itu hanya boleh didapati jika kita menerima Islam secara keseluruhannya, bukan separuh-separuh, bukan ikut suka.


3 comments:

SoalHati said...

tahniah kak :)harap blog ini 'hidup' untuk selama2lamanya...
belum menulis tentang cinta? sekali sekala apa salahnya kan berkongsi tentang cinta :)

wearelearningparents said...

selamat meneruskan perjuangan berblog...

Anonymous said...

bukan bintang yang memberi ketenangan tetapi Pemiliknya