Monday, January 04, 2010

Active-Call

  • Aku mengambil kesempatan tika dinihari ini untuk mencoret, sambil menunggu dan bersiap-siaga jika ada pesakit yang datang untuk mendapatkan ubat. Hari ini, aku ditugaskan untuk bekerja di sebelah malam sebenarnya, berdasarkan sistem 24 jam yang baru sahaja diaplikasikan di farmasi HRPZ II sempena tahun baru 2010. Aku dan 2 orang lagi pegawai farmasi merupakan kumpulan pertama yang bertugas secara active-call ini, sempena tahun baru.
  • Sekali imbas, aku telah mengakhiri tahun 2009 dan memulakan tahun 2010 dengan BEKERJA. 31 Disember yang lepas, aku hampir sahaja pulang ke rumah pada waktu malam. Dek kerana menolong pegawai-pegawai farmasi di Stor Integrasi menyiapkan segala macam dokumen yang diperlukan untuk proses pembayaran ubat-ubatan & produk-produk bukan ubat yang telah dibeli, aku hanya dibenarkan pulang ke rumah pada jam 6.30 petang. Itu pun setelah aku memberitahu bos bahawa esok & lusa juga aku akan datang bekerja..ya, pada 1 & 2 Januari 2010..di hujung minggu, hari Jumaat & Sabtu.
  • Dan hari ini, 3 Januari, aku juga masuk kerja seperti biasa pada jam 8 pagi, tapi pulang lebih awal iaitu pada jam 12.15 tengahari. Aku diberikan rehat sehingga jam 9 malam. Tepat jam 9 malam, aku dikehendaki berada semula di HRPZ II sebagai pegawai active-call..sehinggalah pukul 8 pagi keesokan harinya, 4 Januari 2010. Aduhai, terpaksalah aku tinggalkan suami di rumah! Kerja, kerja dan kerja..Mendengar perkataan KERJA sahaja pun sudah terasa kepenatannya.
  • Kenapa perlu bekerja? Itulah soalan yang acap kali aku utarakan kepada suamiku. Jawab suamiku: "Sabarlah Sayang..itu dah jadi tanggungjawab kita. Sebelum kahwin dulu Abang pernah terfikir, kalaulah isteri abang nanti seorang lepasan SPM, abang akan suruh dia jadi suri rumah je. Tapi, oleh kerana isteri Abang ini lepasan universiti, bekerja itu dah jadi tanggungjawab kita kepada masyarakat..lagi-lagilah apabila kita ini pegawai farmasi. Tapi kalau sampai satu tahap, tak mustahil abang seorang je yang kerja, Sayang duduk rumah jaga anak-anak".
  • Justeru, bersabarlah..dan perbetulkan niat anda! Jadikan profesion anda satu ibadah! SELAMAT TAHUN BARU!

p/s:

Terima kasih, Abang..atas kejutan yang Abang berikan sebagai hadiah sempena ulang tahun kelahiran Sayang yang ke-26! Suka sangat, macam mimpi pula rasanya!! Thank you very much..

Friday, December 25, 2009

Tentang Mata

Buka, tutup. Buka, tutup.. Itu sahaja yang dapat kulakukan terhadap blog kesayanganku ini. Betulkah kekakangan masa menjadi penyebab? Atau akukah sebenarnya yang tidak bijak menguruskan masa? Mungkin persoalan yang kedua itulah jawapannya. Untuk saat ini, usah dibicarakan kesibukan di tempat kerja kerana ia akan lebih membebankan jiwa. Aku ingin berkongsi tentang salah satu topik yang dibincangkan dalam usrahku pada minggu ini..TENTANG MATA..

Dalam kitab Penawar Hati, perihal menjaga mata diletakkan dalam bab yang pertama, menunjukkan betapa pentingnya kita menjaga pandangan mata demi memelihara kesucian hati. Orang yang memelihara pandangannya daripada melihat perkara yang diharamkan oleh Allah akan dikurniakan kemanisan dalam beribadah dan gembira melakukannya. Alangkah baiknya jika anugerah mata ini digunakan sebaik-baiknya hanya untuk merenung kejadian alam semesta & bertafakur tentang kebesaranNya. Moga-moga terbit kalimah Subhanallah! di akhir pemerhatian kita.

Namun, sebagai manusia biasa yang serba dhaif, kita tak lari daripada sifat alpa, leka atau lalai. Kita sering dan terlalu mudah untuk lupa. Bisa sahaja kita bertenggek di hadapan peti televisyen berjam-jam lamanya kerana ingin menyaksikan berabak-babak lakonan dalam drama bersiri kesukaan atau rancangan realiti TV yang semakin mendapat tempat di stesen-stesen penyiaran. Akhirnya, kita terleka dengan keseronokan dunia dan menghabiskan masa dengan sia-sia.

Masa yang terbuang itu sudah pasti tidak akan kembali. Jika penyalahgunaan mata seperti ini sering sahaja kita lakukan, cepat-cepatlah beristighfar (Astaghfirullahal 'azim!) meminta keampunan daripada Allah sebaik sahaja kita tersedar daripada kelalaian. Benar, kita tidak ma'sum sebagaimana para Nabi tetapi kerana sayangnya Allah kepada kita, dibukaNya pintu keampunan untuk kita selama mana nyawa masih belum tersekat di halkum.

Tatkala ada terdetik di dalam hati untuk melihat perkara yang haram atau sia-sia, pesanlah kepada diri:
  • Bukankah Allah yang menjadikan mata ini dan seluruh alam serta isinya yang amat cantik? Sudah tentu yang menjadikan semua ini lebih cantik & lebih mulia serta maha agung daripada segala-galanya!
  • Tidakkah kita ingin memandang wajah pencipta kita nanti?
  • Layakkah mata ini memandang wajah Allah yang Maha Mulia di akhirat kelak seandainya di dunia ini ia sering memandang perkara-perkara yang ditegahNya?
  • Bukan semua manusia akan diberikan kenikmatan melihat wajah Allah di akhirat kelak. Jadi, berusahalah untuk menjadikan diri tergolong dalam golongan yang dianugerahkan nikmat yang terindah ini!

Saturday, November 14, 2009

Ada Apa Pada Nama?

Banyak yang ada pada nama. Bukan senang ibu bapa kita membuat keputusan untuk memberikan nama kepada kita. Itu juga yang aku & suami alami setiap kali kami berbincang tentang nama yang akan diberi kepada zuriat kami yang sedang dikandung..sekadar persiapan. Antara kriteria yang diletakkan oleh kami, nama tersebut hendaklah:
  • mempunyai maksud yang baik
  • tidak terlalu panjang
  • kalau boleh bermula dengan huruf A
Apapun kriterianya, keputusan akhir bergantung kepada hasil istikharah kami nanti. Hmm, kalau ada cadangan, bolehlah panjangkan kepada kami ye..terima kasih.

Apabila berbicara soal nama, teringat aku kepada salah satu ayat yang disampaikan oleh suami sewaktu talkshow kami bersama adik-adik Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah tempoh hari.

Katanya, "Kalau kita buat sesuatu yang tak elok, orang bukan sahaja menyebut-nyebut nama kita sebagai pelakunya. Orang akan tanya balik, dia budak sekolah mana? Oh, Maahad Tahfiz Sains. Macam ni hafiz/hafizah? Sekarang, nama sekolah dah pun tercemar. Orang akan tanya lagi, dia ini anak siapa? Heret pulak nama mak bapak kita sekali. Jadi, jagalah akhlaq kita sebagai huffazul Quran".

Maruah. Itulah yang ada pada nama. Nama itu jugalah yang akan diseru di akhirat kelak untuk menerima kitab amalan sama ada dengan tangan kiri atau tangan kanan. Jika maruah dijaga dengan baik di dunia ini, pemilik nama itulah yang bakal berbahagia di akhirat nanti. Semoga kita tergolong dalam golongan ini..ameen!

Sunday, October 18, 2009

Convo 09

Sudah seminggu majlis konvokesyen berlalu. Namun, kepenatan & keriangan yang dikutip sepanjang perjalanan masih lagi terasa. Dek kerana badanku yang agak lemah disebabkan asyik muntah-muntah, aku & suami tidak berpeluang untuk membawa ahli keluarga meronda-ronda di sekitar ibu negara. Kami sekadar membawa mereka berjalan-jalan & membeli belah di pesta Convest 09, makan-makan di restoran di Greenwood & mandi-manda di sungai bersebelahan Chalet Sri Raudhah yang kami sewa selama 3 hari 2 malam. Masa luang yang selebihnya kami gunakan untuk berehat.

Konvo kali ini sangat bermakna buatku..konvo versi seorang isteri & momma-to-be. Aku, suami dan zuriat kami, ketiga-tiganya menaiki pentas yang sama pada hari yang sama di dewan yang sama. Disaksikan oleh suami tercinta, ummi, abah, mek, adik-adik, ipar duai, para pensyarah serta rakan-rakan seperjuangan, aku dipanggil lagi untuk naik ke pentas buat kali kedua untuk menerima anugerah Best Student (Overall) Kulliyyah of Pharmacy & Best Student (Co-curricular) Kulliyyah of Pharmacy. Kedua-dua anugerah ini sesungguhnya aku dedikasikan untuk mereka!

Haza min fadhli robbi! Jutaan terima kasih kepada semua yang telah membentuk diriku sama ada secara langsung atau tidak. Tanpa kalian, tiadalah seorang insan yang bernama Nur Asiyah Mustapha Kamil seperti yang kalian lihat pada hari ini. These awards are for you! Thank you very much!

P/S:
  • Thank you, Abang, for being by my side during my ups & downs!
  • Thank you, Ummi, for everything that you've done since the first time I see this world!
  • Thank you, Abah (may his soul rest in peace, ameen..) for inspiring me all the time!
  • Thank you, Mek & Abah, for your presence & support!
  • Thank you, Diah, for your help since the beginning until the end of the convo!
  • Thank you, Jah, for being our photographer!
  • Thank you, Daus, for taking care of those little girls!
  • Thank you, Hanin & Izzah, for being good little girls & enhancing the joy of togetherness!
  • Thank you, everybody! Thank you very much!

Thursday, October 08, 2009

Back to Normal

Alhamdulillah, selepas 6 hari mendapat urticaria rashes di seluruh badan, garu sana, garu sini sampai kaki tangan jadi kebas..dengan izin Allah, akhirnya kesihatanku kembali pulih. Sungguh, kesakitan itu satu ujian untuk menguji kesabaran dan tahap kebergantungan seorang hamba kepada Tuhannya. Di saat itu, kita akan mengerti siapakah yang benar-benar ikhlas bersama kita di waktu senang, jua di waktu susah.

Terima kasih tak terhingga aku ucapkan kepada semua yang sudi mengambil berat terhadap diri ini: suami tersayang yang tak cukup rehat kerana sabar menguruskan keperluan isteri, ibu dan mertua yang tak jemu-jemu menghulurkan penawar dan doa, serta sahabat-sahabat yang selalu bertanyakan khabar. Terasa diri ini begitu bertuah kerana berada di sisi kalian!

Sejak usia kandungan memasuki second trimester ini, barulah diri ini merasa keperitan seorang ibu mengandung. Bukan senang untuk mengharungi segala alahan yang tak pernah dialami sebelum ini. Semalam, sewaktu memandu kereta pulang dari tempat kerja, tak semena-mena aku termuntah di atas riba..unknown cause. Sejurus sampai di rumah dan mencuci pakaian yang terkena kotoran tadi, aku termuntah lagi tapi kali ini di dalam tandas. Nasib baik! Lagi bernasib baik sebab suami tolong bersihkan kesan muntah di kusyen kereta dengan rela hati (thank you very much, my sweetheart!).

Hari ini, aku dan suami serta beberapa orang ahli keluarga yang lain akan mula bermusafir ke Gombak untuk menghadiri majlis konvokesyen kami. Satu perjalanan yang jauh dan tentunya mencabar! Majlis penganugerahan ijazah untuk graduan dari Kulliyyah of Pharmacy akan berlangsung pada sesi pagi, 10 Oktober 2009 (Sabtu). Huu..tak sabar rasanya untuk bertemu mata dengan sahabat-sahabat seperjuangan! Aku benar-benar rindukan celoteh mereka. See you there, guys! Congratulations!

Saturday, October 03, 2009

Ucapan Selamat

Mungkin ada yang terlambat, tapi nak ucapkan juga kepada semua..
  • SELAMAT HARI RAYA!
  • SELAMAT BERPUASA 6!
  • SELAMAT BERHARI RAYA 6!
  • SELAMAT MENGUNDI DI BAGAN PINANG!
  • SELAMAT BELAJAR!
  • SELAMAT BEKERJA!
  • SELAMAT MAJU JAYA!
Sekadar mengemaskini blog yang sudah agak lama bersawang. Insya Allah, kalau diikutkan jadual, esok aku akan mula bekerja di bahagian farmasi pesakit luar (out-patient department,OPD) & bertugas di kaunter setiap hari selama 5 minggu. Melihatkan keadaan diri yang kurang sihat sekarang ini, aku terfikir, adakah aku mampu mengharungi segala kepenatan berada di OPD? Moga selamat semuanya..ameen!

Saturday, September 05, 2009

Busyra! Busyra!

Busyra bermaksud kegembiraan.
Ada 2 kegembiraan yang baru sahaja menjengah ke dalam hidupku, alhamdulillahi rabbil 'aalamiin..syukur tak terhingga!

  1. Rayuan suamiku untuk ditempatkan di Kelantan berjaya. Alhamdulillah, diterima bekerja di Jabatan Farmasi HUSM, Kubang Kerian & akan melapor diri untuk bertugas dalam masa yang terdekat..sekarang tengah tunggu surat tawaran sampai. Terima kasih tak terhingga atas doa kalian! Sekurang-kurangnya kami tak perlu tinggal berjauhan untuk tahun pertama ini.
  2. Seorang cahaya mata pengikat kasih bakal mewarnai hidup kami. Berdasarkan keputusan urine pregnancy test & imbasan ultrasound, aku disahkan hamil 7 minggu. Kelahiran dijangka pada bulan April 2010. Alhamdulillah! Semoga zuriat ini bakal menjadi salah seorang ansorullah..ameen.
Bermula pada esok hari, aku akan ditempatkan di Therapeutic Drug Monitoring (TDM) Unit selama 4 minggu. Selamat tinggal CDR! Aku juga bakal bekerja shift petang pada hari Jumaat ini dari jam 4 petang hingga 12 malam (Oh, no weekend for me!) Ini satu cabaran dan pengalaman yang baru bagiku. Moga-moga Allah permudahkan segala urusan..ameen.