Monday, October 22, 2007

Apa yang BEST raya kali ni?

1- First time kesemua sepuluh beradik & ummi ziarah pusara abah, tok ayah dan nenek serentak pada waktu yang sama pada pagi 1 Syawal sejurus selepas solat sunat eid. Betul-betul rasa hiba apabila adik lelaki sendiri yang mengetuai bacaan Yasin dan membacakan doa sementara yang lain mengaminkan. Semoga roh mereka ditempatkan bersama para solihin di sisi Allah. Ameen!

2- First time kesemua sepuluh adik beradik & ummi berjalan kaki, berbasikal dan bermotorsikal beramai-ramai dari tanah perkuburan menuju ke rumah nenek. Baru aku tau, konvoi keliling kampong macam ni memang menyeronokkan!

3- Raya kali ni ramai betul ex-schoolmates kahwin..hampir setiap hari ada jemputan. Dah besar rupanya kawan-kawan aku ni. Semoga berbahagia di dunia & akhirat dan diredhai Allah selalu!

4- Kali ni dapat beraya dengan lebih gembira sebab lulus semua paper dalam mid sem exam yang lepas. Alhamdulillah ‘alaa kulli haal !


Allahu akbar kabira, wal hamdulillahi kathira, wa subhanallahi bukratan wa asila..

Monday, October 08, 2007

Selamat Bertugas!

Apa khabar YB-YB dan YBah-YBah baru sekalian? Tahniah saya ucapkan kerana berjaya memenangi pilihan raya baru-baru ini. Kemenangan yang diperolehi bukanlah semata-mata kerana kuatnya pengaruh kita dan bukan juga kerana bagusnya kita di mata para mahasiswa di kampus masing-masing. Tetapi, harus sentiasa diingat bahawa kemenangan itu adalah kurniaan Allah Yang Maha Agung. Dia menganugerahkannya kepada hamba-hambaNya semata-mata kerana pertolongan dan belas ihsanNya yang tiada terhingga. Tanpa rahmat dan rahimNya, mana mungkin kemenangan itu dikecapi oleh kita hamba-hambaNya yang sentiasa sahaja lalai daripada mengingatiNya dan sering melakukan kesilapan sama ada secara sedar atau pun tidak. Sama-samalah kita bertasbih kepada Allah dan beristighfar sepertimana yang telah dianjurkan oleh Allah dalam Surah Al-Nasr tatkala Rasulullah s.a.w. dan ummat Islam berjaya membuka Kota Makkah.

Calon yang menang sudah pasti mempunyai ramai penyokong di belakangnya. Semasa berkempen, penyokong-penyokong inilah yang paling bersemangat mempromosi calon pilihan mereka, sanggup turun padang menggantung posters & flyers, mengagih-agihkan pamphlet dan tak kurang juga yang sanggup bersengkang mata bersama-sama mempersiapkan kelengkapan “perang”. Itu keadaan di waktu demam pilihan raya. Semangat tolong menolong sugguh menebal, apa sahaja sanggup ditempuhi bersama-sama calon tersayang.

Apa pula yang terjadi selepas calon menang? Di manakah para penyokong sewaktu si YB mula dibebani tanggungjawab demi tanggungjawab demi membela kebajikan mahasiswa dan menegakkan kemaarufan, menentang kemungkaran? Adakah di sana penyokong-penyokong yang rela berkongsi segala kepayahan dan bersama-sama menyelesaikannya ? Atau, pemimpin itu dibiarkan keseorangan memerah otak siang dan malam tanpa ada yang bertanyakan perihalnya ? Mungkinkah di sana ada penyokong-penyokongnya yang berkata, ‘Takpe, saya yakin dia mampu buat semua tu. Sebab tulah kita pilih dia jadi perwakilan’ ? Lantas, di akhir sesi, perwakilan tersebut dibiarkan dihentam oleh masyarakat kampus kerana tidak mampu merealisasaikan manifestonya. Nauzubillahi min zalik.

Saya sengaja datangkan persoalan-persoalan di atas. Kerana apa ? Kerana para perwakilan juga insan biasa yang memerlukan pertolongan daripada insan lain. Mereka juga pelajar seperti kita, perlu menghadiri kelas, menyiapkan tugasan akademik, mengulangkaji pelajaran, menghadapi peperiksaan, dalam masa yang sama perlu menjalankan tanggungjawab membela nasib pelajar dan membawa visi serta misi universiti tanpa mendapat apa-apa bayaran atau upah (kecuali mereka yang sedari awal bertanding kerana duit dan menang disebabkan duit).

Cubalah kita selami hati dan perasaan mereka. Bayangkan apa yang akan berlaku jika kita di tempat mereka yang bergelar pemimpin. Mata kasar kita mungkin nampak mereka sangat hebat dan tabah. Namun, riak wajah itu mungkin hanya sebagai topeng yang melindungi kegusaran yang tidak jenuh bertandang di hati mereka. Semoga kita semua dapat membantu perwakilan-perwakilan pilihan kita mengisi kemenangan mereka bukan setakat di awal tenure tetapi hingga ke akhirnya.