Tuesday, July 22, 2008

Wind of Change

Nak balik ke tak? Nak balik ke tak? Kalau tak balik hujung minggu ni, alamatnya, awal bulan puasa nanti la baru balik. Huu, lama lagi tu! Hmmm, itulah persoalan yang bermain-main dalam fikiran saya sewaktu tengah clerk case di Wad 7C, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Khamis lepas. Fikir punya fikir, akhirnya saya nekad untuk balik. Esok nak balik, hari ni baru cari tiket. Nasiblah. Kalau ada tiketnya, bolehlah balik. Saya bertanya di semua kaunter tiket; Transnasional, Mutiara, Budaya etc. Semua tiket ke KB sudah habis terjual! Pelik. Why the tickets were successfully sold out? Bukannya ada cuti umum pun pada hujung minggu ni.

Tiba-tiba saya tergerak untuk ke kaunter SKA Ekspress yang saya tak pernah ketahui kewujudannya sebelum ni.

“Tiket Kuantan-KB esok malam ada tak, pak cik?”

“Ada, tapi bas pukul 1 pagi je yang tinggal. Nak ke?”

Dalam sejarah saya menaiki bas dari Kuantan ke KB, tak pernah saya naik bas yang bertolak pada jam 1 pagi. Memandangkan hanya itu pilihan yang saya ada, saya setuju untuk membelinya. Alhamdulillah, masih ada rezeki untuk saya balik kampung. Tak sabar rasanya nak merasai durian-durian yang tengah menanti di rumah.

Dah pukul 1.30 tapi bas yang dinantikan masih belum muncul walaupun embun-embun jantan sudah mula membasahi bumi. Bagi menghilangkan kebosanan, saya berbual dengan dua tiga orang penumpang bas yang sama. Rupa-rupanya, ini kali pertama mereka menaiki bas untuk pulang ke KB. Selama ni mereka drive sendiri. Ooh, patutlah! Patutlah tiket habis. Semua orang nak berjimat-cermat rupanya! Naik bas lagi jimat. Nampaknya seruan Pak Lah supaya rakyat mengubah gaya hidup dan mula berjimat cermat telah pun disahut oleh rakyat dengan sepenuh hati tanpa ragu-ragu.

Nak tak nak, rakyat terpaksa berubah. Akan tetapi, rakyat masih musykil yang teramat. Kenapa kerajaan masih begitu juga? Peruntukan yang melampau untuk golongan atlet! Pembiayaan SUKMA yang keterlaluan! PTPTN masih mengekalkan caj kepada para penghutang! Konsert-konsert hiburan terus mendapat tajaan kerajaan! Duit banyak dihabiskan untuk pesta itu, pesta ini. Apa semua ini?

Dalam hal ini, tabik hormat dan junjung setia patik kepada Tuanku Sultan Mizan. Baginda mempelopori usaha mengubah gaya hidup yang sebenarnya. Tiada penganugerahan darjah kebesaran pada Hari Keputeraan baginda. Hari besar baginda dihiasi dengan bacaan Quran serta tahlil. Daulat Tuanku! Semoga sinar baru Islam terus bersemarak di bumi Malaysia di bawah payung pemerintahan Tuanku.