Sunday, June 13, 2010

Kembali Bekerja

7 Jun 2010..tarikh permulaan aku kembali bekerja sebagai seorang Provisionally Registered Pharmacist (PRP). Dikhabarkan bahawa sahabat-sahabat yang mula bekerja pada tarikh yang sama dengan aku iaitu Ogos 2009 telah pun mengisi borang penempatan sebagai Fully Registered Pharmacist (FRP) dan mereka bakal menghabiskan tempoh latihan dalam perkhidmatan pada bulan Ogos ini. Aku pula bakal melanjutkan lagi tempoh PRPku selama dua bulan lagi. Bermakna, dalam bulan Oktober jugalah baru aku boleh menjadi FRP. Itu pun, aku tidak tahu ke mana aku akan dihantar bertugas..mungkin saja kekal di HRPZ II, atau ditempatkan di mana-mana hospital daerah mahupun klinik kesihatan. Harap-harapnya dapat bertugas satu negeri dengan suami.

2 minggu pertama ini aku attached di Cawangan Penguatkuasa Farmasi (CPF) Negeri Kelantan. Banyak pengalaman baru yang dikutip dan pastinya pengalaman-pengalaman ini tidak terdapat dalam hospital/clinical setting. Antaranya ialah:
  • menolong menyediakan investigation paper untu kes-kes serbuan yang telah dilakukan
  • membuat pemeriksaan di klinik-klinik perubatan dan premis-premis yang berkaitan
  • menyediakan laporan pemeriksaan yang dibuat
  • membantu mengendalikan barangan eksibit
  • membantu pemeriksaan di pintu masuk ke Malaysia (entry point), Rantau Panjang
  • mengendalikan pameran berkenaan ubat-ubatan
  • menghadiri perbicaraan kes di Mahkamah Majistret Kota Bharu

Tapi, dalam banyak-banyak perkara baru yang aku lalui ini, ada satu peristiwa yang tak boleh aku lupakan. Pada hari pertama aku kembali masuk kerja, anakku Awatif meragam dan hanya berhenti menangis setelah keletihan. Hisap susu perahan yang diletakkan dalam botol susu pun tak nak hinggakan mak cik pengasuh pun sudah hilang arah, dah tak tahu nak buat macam mana. Mengetahui hal ini, aku menjadi semakin sedih dan tak semena-mena aku menangis. Mujurlah suamiku bekerja shift petang pada hari tersebut. Akhirnya, suamiku membawa Awatif ke tempat kerjaku pada waktu rehat tengahari untuk disusukan. Fuuuhhh..cobaan!

Alhamdulillah, setelah 2 minggu berada dalam proses adaptasi yang disertai dengan solat hajat pada setiap malam, menguruskan Awatif kini menjadi semakin mudah Stok susu perahan yang ditinggalkan juga sudah semakin banyak dihisap. Lega hatiku! Membesarkan anak memang mencabar. Betul-betul perlu banyakkan minta pertolongan daripada Allah dengan SABAR dan SOLAT.