Friday, December 25, 2009

Tentang Mata

Buka, tutup. Buka, tutup.. Itu sahaja yang dapat kulakukan terhadap blog kesayanganku ini. Betulkah kekakangan masa menjadi penyebab? Atau akukah sebenarnya yang tidak bijak menguruskan masa? Mungkin persoalan yang kedua itulah jawapannya. Untuk saat ini, usah dibicarakan kesibukan di tempat kerja kerana ia akan lebih membebankan jiwa. Aku ingin berkongsi tentang salah satu topik yang dibincangkan dalam usrahku pada minggu ini..TENTANG MATA..

Dalam kitab Penawar Hati, perihal menjaga mata diletakkan dalam bab yang pertama, menunjukkan betapa pentingnya kita menjaga pandangan mata demi memelihara kesucian hati. Orang yang memelihara pandangannya daripada melihat perkara yang diharamkan oleh Allah akan dikurniakan kemanisan dalam beribadah dan gembira melakukannya. Alangkah baiknya jika anugerah mata ini digunakan sebaik-baiknya hanya untuk merenung kejadian alam semesta & bertafakur tentang kebesaranNya. Moga-moga terbit kalimah Subhanallah! di akhir pemerhatian kita.

Namun, sebagai manusia biasa yang serba dhaif, kita tak lari daripada sifat alpa, leka atau lalai. Kita sering dan terlalu mudah untuk lupa. Bisa sahaja kita bertenggek di hadapan peti televisyen berjam-jam lamanya kerana ingin menyaksikan berabak-babak lakonan dalam drama bersiri kesukaan atau rancangan realiti TV yang semakin mendapat tempat di stesen-stesen penyiaran. Akhirnya, kita terleka dengan keseronokan dunia dan menghabiskan masa dengan sia-sia.

Masa yang terbuang itu sudah pasti tidak akan kembali. Jika penyalahgunaan mata seperti ini sering sahaja kita lakukan, cepat-cepatlah beristighfar (Astaghfirullahal 'azim!) meminta keampunan daripada Allah sebaik sahaja kita tersedar daripada kelalaian. Benar, kita tidak ma'sum sebagaimana para Nabi tetapi kerana sayangnya Allah kepada kita, dibukaNya pintu keampunan untuk kita selama mana nyawa masih belum tersekat di halkum.

Tatkala ada terdetik di dalam hati untuk melihat perkara yang haram atau sia-sia, pesanlah kepada diri:
  • Bukankah Allah yang menjadikan mata ini dan seluruh alam serta isinya yang amat cantik? Sudah tentu yang menjadikan semua ini lebih cantik & lebih mulia serta maha agung daripada segala-galanya!
  • Tidakkah kita ingin memandang wajah pencipta kita nanti?
  • Layakkah mata ini memandang wajah Allah yang Maha Mulia di akhirat kelak seandainya di dunia ini ia sering memandang perkara-perkara yang ditegahNya?
  • Bukan semua manusia akan diberikan kenikmatan melihat wajah Allah di akhirat kelak. Jadi, berusahalah untuk menjadikan diri tergolong dalam golongan yang dianugerahkan nikmat yang terindah ini!