Monday, January 07, 2008

Kita yang menentukan siapakah pemimpin kita


“Sebaik-baik para pemimpin kalian adalah yang kalian mencintai mereka & mereka mencintai kalian, yang kalian mendoakan mereka & mereka mendoakan kalian dan seburuk-buruk para pemimpin kalian adalah yang kalian membenci mereka & mereka membenci kalian, yang kalian mengutuk mereka & mereka mengutuk kalian” [Hadith riwayat Muslim]


“Dengar dan taat (kepada pemimpin) dalam apa jua keadaan, sama ada suka atau tidak, melainkan jika diperintahkan melakukan maksiat. Maka dalam perkara itu tidak ada ketaatan (baginya)” [Hadith riwayat Bukhari]

Disebabkan kita merupakan rakyat sebuah negara yang dikatakan menjunjung konsep demokrasi berparlimen dalam pentadbiran, maka kita berhak untuk menentukan siapakah ketua kita; “dari rakyat, untuk rakyat”. Kalau sudah dinamakan sebagai HAK, kita hendaklah menunaikannya. Persoalannya, bagaimanakah caranya untuk kita menunaikan hak kita ini? Senang sahaja. Kita perlu mengikut saluran yang betul, iaitu memilih pemimpin melalui PILIHANRAYA sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan. Jadi, kalau kita sudah tergolong sebagai rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun dan ke atas, WAJIB bagi kita mendaftarkan diri sebagai pemilih dan mengundi. Dikatakan wajib kerana ia adalah hak kita dan hanya dengan cara ini sahaja suara kita sebagai rakyat akan didengari.

Tapi, dalam ramai-ramai calon, calon manakah yang perlu kita undi? Sudah semestinya calon yang terbaik. Calon yang terbaik adalah pemimpin yang boleh memimpin rakyat yang dipimpinnya ke arah yang LEBIH BAIK di masa hadapan. Pemimpin sebegini adalah pemimpin yang futuristik serta mempunyai matlamat jangkamasa panjang. Seseorang Muslim itu dikatakan mempunyai akal yang panjang jika dia menetapkan kehidupan yang baik di akhirat sebagai matlamat hidupnya kerana dia tahu dunia ini hanya sementara. Dunia ini baginya hanya merupakan jambatan ke alam akhirat. Begitu juga bagi pemimpin yang perlu kita pilih ini. Pemimpin ini tidak menjadikan dunia sebagai matlamat dan akhirat atau agama sebagai alat. Sebaliknya pemimpin ini meletakkan akhirat atau agama sebagai matlamat utama dan dunia hanyalah sebagai alat.

Sebenarnya mudah sahaja untuk kita mengenalpasti mereka yang menjadikan agama sebagai matlamat dan mereka yang menjadikan agama sebagai alat. Golongan pertama SANGGUP BERDEPAN DENGAN APA SAHAJA CABARAN DEMI MEMELIHARA KEDAULATAN AGAMA. Bagi golongan ini, ajaran Islam tidak boleh dipermain-mainkan sewenang-wenangnya kerana ia akan membawa kerosakan yang melata di muka bumi. Manusia akan rosak kalau agama dipinggirkan sekalipun pembangunan fizikal begitu pesat. Umat akan musnah sekiranya agama hanya termaktub dalam perlembagaan tetapi tidak dipraktikkan. Yahudi dan Nasrani akan menang bergaya jika agama Islam dibiarkan dikritik sesuka hati oleh mereka yang dengki tanpa ada yang membela. Bukankah agama Islam diturunkan oleh Yang Maha Esa untuk kesejahteraan seluruh makhluknya? Jadi, kita tak akan sekali-kali rugi jika kita memilih pemimpin yang menjadikan agama sebagai matlamat. Bukan sahaja kita akan mendapat keredhaan Allah & mencapai kenikmatan-kenikmatan di akhirat, tetapi juga kebahagiaan hidup di dunia.

Bagaimana pula keadaannya dengan golongan kedua? Golongan ini hanya mengimpikan kesenangan hidup di dunia. HARTA, PANGKAT DAN KEMASYHURAN MENJADI TUMPUAN mereka. Mereka akan melakukan apa sahaja asalkan ketiga-tiga tumpuan mereka ini tidak diganggu-gugat oleh pihak-pihak lain. Agama akan diperalatkan jika ia dapat mengekalkan kuasa yang dimiliki. Kebajikan rakyat hanya akan dijadikan modal utama kalau ia mampu menambahkan populariti mereka sedangkan pada masa yang sama mereka berterusan memamah harta rakyat. Rasuah merupakan perkara rutin kerana ia boleh menambahkan bilangan karung harta mereka. Orang dalam golongan ini berpura-pura baik di masa-masa tertentu sahaja sedangkan akhlak dan pekerti yang sebenar jauh lebih buruk daripada yang dipamerkan. Tidak hairanlah jika maksiat dan penyakit-penyakit sosial dalam masyarakat bertambah kronik di bawah penguasaan mereka ini kerana merekalah sebenarnya pembawa wabak. Wabak tersebut terbukti hanya boleh dicegah dan diselesaikan dengan agama, bukan dengan undang-undang ciptaan manusia.

Oleh yang demikian, kita sebagai rakyat haruslah bijak menilai setiap apa yang kita pandang dan dengar. Penilaian tersebut perlu dibuat dengan menggunakan mata hati bersandarkan fakta dan hujah yang kukuh, bukan dengan nafsu yang sememangnya mencintai dunia. Keputusan penilaian kita sebagai Muslim sepatutnya merangkumi hal-hal akhirat kerana itulah destinasi utama kita.

Wednesday, January 02, 2008

Happy New Year!


Selamat tahun baru! Apa ya azam kita pada tahun ini? Harapannya agar kita semua menjadi hambaNya yang lebih baik daripada tahun-tahun yang telah berlalu. Mungkin banyak perancangan-perancangan tahun lepas yang masih tidak terlaksana disebabkan kesalahan atau kelemahan diri kita sendiri, lantas membuatkan kita merasa sedikit kesal. Walaubagaimanapun, usahlah dikesalkan berpanjangan kerana seorang Muslim itu tidak akan merelakan dirinya jatuh di lubang yang sama buat kali yang kedua.

Sahabat-sahabat,
masih ada masa buat diri kita untuk mengimbas kembali setiap kekhilafan yang telah diri kita lakukan dan sudah pasti ianya masih belum terlambat untuk kita merencana langkah kehidupan kita yang seterusnya. Kekurangan yang kita miliki bukanlah dicipta untuk disimpan rapi dalam diri. Sebaliknya ia hendaklah dikikis dan dileburkan daripada segenap segi. Setiap kelebihan kita pula bukanlah untuk dibangga-banggakan di hadapan orang. Akan tetapi, hendaklah ia sentiasa dibajai agar terus subur sehingga membuahkan hasil yang mampu dikecapi oleh semua makhluk di alam fana ini.

Semoga kita semua tetap berada dalam lingkungan kasih sayang dan keredhaan Rabbul `Izzati, Ameen!