Ramadhan kareem buat semua..
Bagaikan tidak bertuan, penuh sudah sawang di blogku ini. Sedar tak sedar, Ramadhan menyapa lagi. Alhamdulillah, Dia izinkan lagi aku ketemu dengannya. Jika ditanya apa yang istimewa dengan Ramadhan, akan kujawab, "solat sunat tarawih" salah satunya.
Versi tarawih sewaktu bujang tentu sekali amat berbeza dengan versi tarawih apabila sudah mempunyai anak. Begitu juga, versi apabila ada seorang anak akan berbeza dengan versi ramai anak. Cerita Ramadhanku pada kali ini ialah versi mempunyai seorang anak iaitu Si kecil Nidaaul awatif yang berusia 1 tahun 4 bulan.
Sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat Melayu Muslim di Malaysia, anak-anak kecil tidak dibenarkan membuat bising dalam masjid. Ada juga di sesetengah tempat, ibu-bapa akan dimarahi oleh orang-orang tua jika membawa anak-anak kecil ke rumah ibadah ini. Antara alasan-alasannya:
- 'nanti tak khusyuk sembahyang sebab terganggu dengan bunyi bising, riuh rendah suara kanak-kanak bermain, bergaduh, bertempik & menangis'
- 'kotor masjid sebab nanti ada yang kencing atau berak merata-rata'
- 'nanti ada anak-anak yang lalu depan orang sembahyang - tak baik lalu depan orang sembahyang'
Memikirkan keadaan ini, aku dan suami berada dalam dilema buat seketika.
"Sayang terawih kat rumah sajalah", cadang suamiku.
"Alaa, abang..tak best terawih kat rumah. Kat masjid tak boleh ke? Sayang nak jadi makmum abang", tiba-tiba aku berasa sedih kerana bagiku, mendirikan solat terawih seorang diri di rumah kurang feelnya. Juga, tiada peluangku untuk menghayati bacaan Al-Quran pak imam dalam solat kerana itu juga merupakan salah satu cara i'adah hafazan yang aku suka.
"Awatif macam mana, sayang?", soal suamiku menzahirkan kebimbangan yang sama.
"Kita try bawa dulu boleh, abang? Tengok macam mana keadaan dia. Kalau OK, under-controlled, lain kali kita bawa lagi", aku mengutarakan cadangan yang akhirnya dipersetujui suami.
Cubaan pertama,
- Qaryah Ramadhan di perkarangan Stadium Sultan Mohd IV dipilih untuk cubaan pertama. Awatif nampak kelihatan begitu teruja berada di tengah-tengah kelompok umat Islam yang agak besar ini. Sewaktu semua orang sedang solat Isyak, Awatif berjalan ke sana ke mari di hadapan jemaah yang dikenalinya iaitu mamanya & ibu-ibu saudaranya sambil dia sendiri solat dengan caranya..berdiri tegak di atas sejadah, angkat tangan sambil membaca takbir "Allahu akbar!", aminkan bacaan imam dan rukuk. Dia tidak pergi jauh. Tidak pula mengacau jemaah lain atau kanak-kanak lain. Sekadar rengekan kecil yang tidak begitu kuat, bagiku tidak mengganggu ketenteraman orang lain.
Cubaan kedua,
- Situasi yang hampir sama dengan cubaan kedua berlaku. Akan tetapi, nasib Awatif tidak berapa baik kerana sewaktu aku sedang solat Isyak, seorang kanak-kanak perempuan yang lebih tua daripada Awatif mencuit-cuit dan cuba memukul Awatif. Geram gamaknya.. Akhirnya, selesai solat, nenek kepada budak perempuan tersebut terus menghantar cucunya pulang ke rumah. Aku pula mengambil keputusan untuk bergilir-gilir sembahyang dengan adikku untuk menjaga Awatif.
Cubaan ketiga,
- Kami ke Masjid Sultan Ismail Petra,Kubang Kerian. Aku mengambil posisi di salah satu daripada tiang-tiang besar di anjung masjid yang luas ini. Selesai solat tarawih rakaat ke 4, aku mengintai-intai di celahan jemaah masjid, mencari-cari dari manakah suara tangisan Awatif. Oh, dia di saf hadapan sana, berdiri di sebalik tiang sambil menangis! Agaknya, dia mencari-cariku tapi tak jumpa. Aduhai, kesiannya..Awatif tersalah tiang!
Cubaan keempat,
- Kali ini, Masjid Muhammadi, Kota Bharu menjadi tempat pilihan. Semuanya nampak OK kerana Awatif masih nyenyak tidur sejak dari dalam kereta. Sebaik sahaja Imam berselawat untuk memulakan tarawih, Awatif terjaga dari tidur dalam keadaan terkejut yang amat dek kerana kuatnya bacaan selawat yang dituturkan. Menangislah dia dalam keadaan ketakutan. "Shh, Mama ada, sayang..", aku cuba menenangkannya.
Alhamdulillah, Awatif berjaya melalui situasi baru yang memberikannya pengalaman-pengalaman baru. Bagi kami, lebih baik dekatkan anak-anak dengan masjid seawal usianya yang mungkin. Biar dia kenal rumah Allah dahulu sebelum dia kenal tempat-tempat lain yang belum tentu memberikan kebaikan. Kalau orang Kristian sangat mengalu-alukan kanak-kanak untuk datang ke gereja dengan menjalankan pelbagai aktiviti, mengapa kita orang Islam mahu menyekat anak-anak kita daripada mendekati rumah Allah?
Melentur buluh biarlah dari rebungnya!
1 comment:
Suka post2 gini. Tulis lagi kak ac :)
Post a Comment