“Ya Allah, banyaknya buku! Kena sewa kontena agaknya di akhir sem ni.. Huhu, jenuhnya nak mengangkut!,” aku terkesima tatkala mataku tertumpu ke rak-rak buku di bilikku di Mahallah Maimunah yang sarat dengan pelbagai jenis bahan bacaan.
Pada hari Isnin lepas, seorang juniorku merangkap bekas anak usrahku, Zurin mengajak aku ke East Coast Mall (ECM), Kuantan. Lebih spesifiknya, ke Methodist Bookstore (MBS) untuk mencari sebuah buku penulis kegemarannya, Faisal Tehrani. Sedang Zurin memburu targetnya, mataku meliar memerhatikan setiap judul buku yang ada di MBS terutamanya di rak-rak yang menempatkan novel-novel Inggeris dan buku-buku motivasi serta kepimpinan. Sebelum datang, langsung tak terniat di hati untuk membeli walau sebuah buku cuma. Sekadar menemani Zurin dan meninjau-ninjau apa yang ada, mungkin. Setelah lama melilau di dalam MBS, akhirnya tanganku menggapai dua buah buku: Mind Map yang ditulis oleh Tony Buzan dan Amazing Grace karya Danielle Steel.
“K.AC, dah nak grad dah, buat apa beli lagi buku Mind Map ni?”, kata Zurin sambil mengerling ke arah buku-buku yang berada di tanganku.
“Haha, tak apalah.. Dah lama dah akak nak beli buku ni sebenarnya. Mungkin berguna suatu hari nanti. Tak pun, boleh ajar anak-anak nanti..hehe,” aku memberikan alasan walaupun ada benarnya kata-kata Zurin tu.
“Dapat tak buku yang awak cari?”, aku pula yang bertanyakan Zurin.
“Huhu..dah habis! Terpaksalah saya tunggu stok baru. Saya beli juga buku-buku Faisal Tehrani yang lain”, mencuka wajah Zurin mengenangkan buku yang diidamkan masih belum dapat dimiliki.
Usai membayar harga buku-buku yang dibeli, kami bergegas pulang ke Kampus UIAM di Indera Mahkota memandangkan waktu Maghrib sudah hampir benar. Fuhh, bertambah lagi koleksi buku aku! Novel Danielle Steel aku khatamkan dalam masa tak sampai dua hari. Kalau tak ada kuliah, mungkin dalam masa satu hari sahaja dah boleh khatam. Buku Tony Buzan pula sangat seronok untuk diteroka! Mungkin agak susah untuk aku mengaplikasikan teknik-teknik yang diajarnya memandangkan aku sekarang sudah berada di semester akhir. Dah liat. Buat junior-juniorku, kalian disyorkan untuk mempelajari teknik mind mapping ini. Berguna sekali!
Itu cerita pada tiga, empat hari yang lepas. Semalam, aku membeli lagi sebuah buku baru: Telaga Budi yang memuatkan tulisan-tulisan Y.A.B. Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Mengandungi 29 bab yang disusun oleh Annual Bakri Haron, buku ini bagaikan sebuah telaga yang amat kaya dengan segala macam peringatan khas buat kita insan yang selalu alpa. Aku baru sahaja menghadamkan bab pertama: Ingatlah, Allah Melihat Kita. Seperti biasa, tulisan Tuan Guru diselang-selikan dengan dalil naqli dan ‘aqli bagi mengukuhkan setiap isi. Ya, kita mesti hidup berdalil! Kesimpulan yang aku dapat daripada bab pertama ini adalah dunia akan aman jika kita sedar dan yakin bahawa Allah itu Maha Mengawasi setiap tingkah-laku kita.
Melihat buku-bukuku yang memenuhi rak, aku yakin pertambahan bilangan buku akan terus berlaku selagi aku masih hidup. Terima kasih tak terhingga aku ucapkan kepada ummi dan arwah abah kerana kalianlah yang memperkenalkan buku ke dalam hidupku. Walau umur masih belum menginjak dua tahun, kalian mengajarku membaca, membelikanku buku itu dan buku ini supaya aku cepat mengenal dunia. Ya, mengenal dunia melalui jendela buku itu lebih mematangkan fikiran!
Buku-bukuku di alam kanak-kanak masih elok tersimpan di perpustakaan mini rumah kami. Masih elok untuk dibaca oleh adik-adikku dan sesiapa sahaja walaupun banyak juga mengandungi ‘lakaran-lakaran abstrak’ hasil tanganku yang sampai sekarang tak kuketahui maknanya. Melihatnya sudah cukup untuk aku mengimbau zaman kanak-kanak yang penuh memori indah, manis untuk dikenang.
Minat terhadap buku ini mungkin diwarisi dari abah dan ummi juga. Masakan tidak, rak-rak perpustakaan mini di rumah kami kebanyakannya dipenuhi dengan buku-buku dan kitab-kitab milik abah dan ummi sejak dari mereka berada di bangku sekolah hinggalah sekarang. Bahkan, aku pertama kali mengenali harakah Islamiyyah daripada bahan-bahan bacaan kepunyaan abah. Tatkala hayat abah masih ada, abah juga tak jemu membawa kami ke pesta-pesta buku. Sekarang, tradisi ini diteruskan oleh ummi pula.
‘Beli buku boleh, beli makanan boleh tapi beli mainan tak boleh sebab mainan dah banyak dah kat rumah’. Itulah antara dialog-dialog mereka yang cukup aku kenali.
Betapa membaca sangat dititikberatkan di dalam keluargaku walaupun tak semua adik-beradikku tegar dengan tabiat yang agak membosankan bagi sesetengah orang ini. It’s ok, we have to respect the diversity of human beings! Dalam banyak-banyak buku milik arwah abah yang ada, kitab-kitab tafsir dan hadith yang ditulis dalam bahasa Arab oleh beberapa orang ulamak muktabar adalah antara yang masih belum dibelek. Tafsir al-Qurtubi, Tafsir at-Tobari, Tafsir al-Muneer, Tafsir Fi Zilalil Quran, Sohih Bukhari, Sohih Muslim, Sunan Abi Daud etc. Kulit kitab-kitab ini masih keras, sisi kertasnya masih tajam. Insya Allah, suatu hari nanti, akan ada juga yang mencedok manfaat darinya.
Dalam diam, aku mengkagumi para penulis buku. Kebanyakan ulamak Islam dahulu dan komtemporari juga mengabadikan pandangan mereka dan segala ilmu yang dianugerahkan oleh Allah ke dalam buku. Mereka membaca, mereka juga menulis. Mudah-mudahan, ilmu Allah yang maha luas itu boleh disampaikan kepada generasi seterusnya tanpa putus. Moga-moga, Allah mengganjarkan pahala yang berterusan kepada mereka selagi mana karya mereka ini memberi manfaat kepada umat manusia.
Tak rugi kalau kita laburkan duit untuk membeli buku. Ia umpama kita melabur untuk satu khazanah yang sangat berharga, bahkan pelaburan ini boleh diwarisi oleh sesiapa sahaja!
Cuba
"Read! In the name of your Lord Who has created (all that exists)"
[Surah al-'Alaq: 1]
[Surah al-'Alaq: 1]
No comments:
Post a Comment