Monday, September 15, 2008

Niat

Kenapa kalau kita puasa, tak rasa lapar sangat berbanding dengan hari yang tak puasa tapi kita tak makan? Dari segi saintifiknya, rembesan asid di dalam perut (gastric secretion) yang berfungsi untuk mencernakan makanan adalah dikawal atur oleh saraf dan mekanisme hormone. Rembesan berlaku dalam 3 fasa:

1- cephalic phase (otak)
2- gastric phase (perut)
3- intestinal phase (usus)


Cephalic phase:

Dalam fasa ini, perut akan mengeluarkan asid sekiranya terdapat makanan di dalam mulut atau kita melihat makanan, menghidu bau makanan, mendengar tentang makanan atau memikirkan tentang makanan.

Bagi orang Islam, kita diajar supaya memasang niat dalam melakukan sesuatu termasuklah berniat di malam hari / sebelum subuh apabila mahu berpuasa pada siang harinya. Sebenarnya, niat berpuasa kerana Allah itu merupakan satu persiapan bagi badan kita, samada persiapan fizikal, mental dan spiritual. Apabila kita memasang niat, otak secara automatic akan memberitahu sistem-sistem yang ada pada tubuh badan kita bahawa kita akan berpuasa. Mesej ini turut diterima oleh sistem pencernaan kita termasuklah perut. Perut akan mengurangkan rembesan asid kerana tidak akan ada makanan yang perlu dicernakan justeru kita tidak merasa sangat lapar.

Sewaktu berpuasa, kita tidak digalakkan untuk memikirkan tentang makanan yang akan dimakan apabila berbuka nanti, bahkan kita disunatkan menyibukkan diri dengan amal ibadah dan amalan-amalan sunat. Amalan-amalan ini secara tidak langsung mengurangkan tumpuan otak kita daripada memikirkan tentang makanan yang sebenarnya akan merangsang rembesan asid perut.

Keadaan sedikit berbeza apabila kita tidak berpuasa. Contohnya, kita akan terasa lapar apabila waktu untuk makan tengah hari telah tiba sedangkan kita telahpun bersarapan pada waktu pagi. Lapar kita akan terus bertambah-tambah jika perut kita lambat diisi sedangkan waktu telah menjangkau ke sebelah petang. Kenapa? Kerana badan kita tidak bersedia untuk menerima keadaan lapar tersebut. Tapi, ini tidak berlaku apabila kita sedari awal berniat untuk berpuasa, sekaligus menyediakan badan kita untuk menghadapinya. Wah, hebatnya Islam! Sebab itulah niat sangat dititiberatkan dalam Islam. Segala-galanya bermula daripada niat.

Gastric phase:

Fasa ini diaktifkan apabila wujudnya makanan di dalam perut yang menyebabkan otot-otot perut meregang, seterusnya sel-sel dalam perut akan mengeluarkan asid untuk pencernaan. Bagi yang berpuasa, semestinya fasa ini tidak aktif kerana tiada makanan yang masuk ke perut dan perut pun tidak akan berkeroncong.

Intestinal phase:

Rentetan daripada fasa kedua, rembesan asid perut dalam fasa ketiga ini dirangsang oleh regangan otot-otot perut serta kewujudan produk hasil daripada pencernaan protein di bahagian awal usus. Rembesan asid ini berlaku 1-3 jam selepas makan. Sewaktu berpuasa, fasa ini juga tidak diaktifkan kerana kita tidak makan.

Subhanallah! Banyak betul pengajaran yang dapat kita ambil daripada makhluk-makhluk ciptaan Allah. Daripada sebesar-besar benda hinggalah sekecil-kecil benda yang diciptaNya, semuanya memperlihatkan kekuasaan Allah bagi mereka yang memikirkannya. Setiap kejadian, ada tujuannya.

Allah berfirman dalam surah Az-Zariyaat ayat 20 & 21, maksudnya:
“Dan di bumi terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang yakin, dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka, apakah kamu tidak memerhatikan?”

Bodohlah kita jika kita masih mahu mengingkari pencipta kita sedangkan kita tidak mampu mencipta walau satu sistem pun di dalam badan kita sendiri, selengkap sistem yang diciptakan Allah. Moga-moga puasa dan amalan kita di bulan Ramadhan kita pada tahun ini mampu meningkatkan kesyukuran dan ketakwaan kita kepada Yang Maha Agung. Ameen!

3 comments:

Amin Mansor said...

bgs entri ni.btl2 bermanfaat

Asiyah said...

terima kasih kpd Prof. Noriah sbb ajar pasal ni dlm subjek Digestive System! thanx, prof =)

Anonymous said...

kalau akak la kan,
pendapat akak kalau kita puasa tak rasa lapar berbanding dr hari yang lain..pastu time berbuka makan sikit pun dah terasa kenyang itu bermakna makanan yg kita makan berkat, puasa yg kita amalkan tu puasa yang sebenar..bukan puasa zero...hiksss
salam perkenalan!