Sunday, May 18, 2008

Selamat Hari Ibu!

Lima, enam hari yang lepas, sedang kami adik-beradik menonton televisyen, ummi tiba-tiba bertanya kepada kami semua, “Dalam banyak-banyak bulan, bulan apa yang ada paling banyak hari?”

Kami memandang antara satu sama lain dengan kerutan di dahi yang bertaut semata-mata memikirkan jawapan kepada teka-teki ummi sebentar tadi.

“Mana ada, ummi. Paling banyak pun 31 hari je, mana ada yang lebih daripada tu”, adik saya, Hanin, memberi respon.

“Ada. Bulan 5 la”, ummi memberikan jawapan sambil tersenyum.

“Bulan 5 kan ada Hari Pekerja dan Hari Ibu. Lepas tu, ada Hari Guru.. Hehehe.. Betul tak?”, ummi mengulas tanpa dipinta.

Kami terkulat-kulat mendengarkan ulasan kepada jawapan ummi dan saya berkira-kira dalam hati tentang hari-hari istimewa di bulan Mei ini. Ooh, banyak rupanya! Lagi banyak daripada yang disenaraikan ummi tadi. 1 Mei: Hari Pekerja, 11 Mei: Hari Ibu, 15 Mei: Hari Nakbah (tarikh rasmi tanah Palestin dijajah secara langsung oleh Yahudi), 16 Mei: Hari Guru dan beberapa tarikh yang merupakan tarikh lahir adik saya dan beberapa orang sahabat-sahabat yang saya kenali sejak sekian lama. Sepanjang seminggu ini, ummi tiada di rumah kerana mnghadiri kursus dan peperiksaan penilaian tahap kecekapan (PTK) di New Pacific Hotel, Kota Bharu. Jadi, kemeriahan menyambut Hari Ibu tidak begitu terasa.

Saya terkenang kembali perbualan saya dengan ummi lebih kurang setahun yang lepas. Walaupun setahun, tapi masih lekat di ingatan kerana impaknya cukup besar bagi saya. Kononnya, pada waktu itu, kumpulan saya ditugaskan untuk membuat pembentangan tentang career-mom untuk subjek Parenting. Telah banyak artikel yang kami cari melalui Internet berkenaan tajuk tersebut. Namun, entah kenapa hati kecil saya tiba-tiba terdetik untuk mengaturkan satu ‘wawancara khas’ bersama ummi. Mungkin kerana saya berkesempatan untuk pulang ke rumah sebelum tarikh pembentangan, hasrat saya itu berjaya direalisasikan. Tambahan pula, sudah lama saya mengagumi ummi lebih-lebih lagi setelah abah pergi menyahut seruan Ilahi pada 2003. Dalam diam, saya mencari-cari, apakah azimat yang ummi genggami selama ini demi meneruskan kehidupan, membesarkan kami sepuluh beradik dengan begitu tabah sedangkan pada waktu yang sama, ummi juga bekerja dalam profesion perguruan.

Kami berborak ketika bersantai di ruang famili dalam rumah sementara adik-adik yang lain khusyuk menonton televisyen.

“Abah tak pernah mintak ummi berhenti kerja ke?”
“Tak pernah. Soal nak kerja ke, tak nak kerja ke, abah serahkan pada ummi. Cuma, kita orang perempuan ni, kalau bekerja, kenalah pandai jaga diri, jaga maruah. Ada batas-batas pergaulan yang kita kena cermati”

“Kenapa ummi kerja ye? Kalau ikutkan, gaji abah seorang pun cukup je untuk sara keluarga”
“Nak tolong abah, nak aplikasikan ilmu, nak tambah ilmu, cari pengalaman. Orang perempuan pun nak juga ada duit simpanan sendiri. Yelah, kita tak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Kalau ada simpanan sendiri, kuranglah sikit bebanan dalam masa-masa emergency. Macam orang kata, sediakan payung sebelum hujan”

“Ooo.. Hmm, betul juga tu. Anak-anak macam mana, mi? Kerja jadi cikgu ni pun, kak long tengok tak kira masa juga. Petang petang ada kelas tambahan, tak pun ada mesyuarat. Hujung minggu pun macam tu juga. Selalu kursus sana, kursus sini”
“Itu yang susah tu. Sebab itulah ummi dan abah hantar anak-anak ke sekolah agama sejak dari kecil, supaya anak-anak ni faham tugas ibu bapa, tahu adab-adab dan asas-asas agama. Kalau kita nak nasihat pun, senang terima”

“Ummi rasa, apa yang paling penting bagi ibu bapa yang berkerjaya?”
“Pendidikan anak-anak. Cari tempat yang paling bagus untuk pendidikan anak-anak sebab kita tahu masa kita dengan anak-anak di rumah tak lama. Sekurang-kurangnya, apa yang kita tak boleh bagi di rumah, diorang boleh dapat di sekolah”

Sejurus mendengar penjelasan ummi, saya semakin jelas tentang kenapa kami adik-beradik disekolahkan di sekolah agama sejak dari tadika lagi. Sejak dari darjah satu hingga darjah enam, kami ke sekolah seawal jam 7 pagi, pulang dari sekolah pada jam 5 petang dan sampai di rumah lebih kurang pada pukul 6 petang. Masuk sekolah menengah pun begitu. Lagi dahsyat, sebab hampir setiap petang ada kelas tambahan, tak pun, ada aktiviti ko-korikulum atau tuisyen.

Saya harus terpacak tepat di tepi jalanraya di hadapan rumah tepat pada jam 6.30 pagi. Jika tidak, bas SKMK nombor 39 itu akan meninggalkan saya tanpa sebarang pesanan. Biasanya saya akan sampai di rumah pada jam 7 petang. Selama setahun di tingkatan empat, jadual harian saya bertambah padat kerana saya menghadiri kelas tahfiz yang diadakan pada sebelah malam. Saya letih yang teramat! Rumah hanyalah tempat tidur, mandi dan makan kerana masa saya di rumah hanyalah dari pukul 10.30 malam hingga 6.30 pagi keesokan harinya.

Rutin harian yang begitu membuatkan saya kadang-kadang mengadakan pemberontakan dalaman. Kenapa saya perlu melalui semua ini? Kenapa ummi dan abah tidak menyekolahkan saya di sekolah yang hampir dengan rumah seperti jiran-jiran saya yang lain? Kenapa saya terpaksa pergi dan pulang dari sekolah menaiki bas atau teksi sedangkan ummi dan abah mempunyai kenderaan? Kenapa dan kenapa? Sejuta kali saya bertanya kenapa sekalipun, jawapannya masih belum saya ketemu sehinggalah pada hari saya berborak dengan ummi setahun yang lalu.

Jadi, itulah jawapannya. Semua itu adalah pendidikan, dengan kata lain, satu tarbiyyah yang berpanjangan. Ummi memberikan tarbiyyah itu secara tidak langsung kepada kesepuluh anak-anaknya. Jarang sekali saya melihat ummi menyatakan sebab-sebab kenapa dia berbuat begitu dan begini. Dia lebih banyak berdiam diri, berfikir dan bertindak. Sejak abah tiada, ummi lebih bersungguh-sungguh dalam menguruskan kerja dan keluarga. Permintaan anak-anak, ummi akan usahakan untuk dipenuhi. Jarang sekali dia berkata tidak kecuali pada perkara yang jelas tiada faedahnya. Bagi ummi, dengan siapa lagi anak-anak nak minta kalau bukan darinya. Kalau tidak diberi perkara baik yang diperlukan, bimbang pula anak-anak akan melakukan sesuatu yang tidak baik.

Seingat saya, sekali pun ummi tidak pernah merungut bilalah agaknya saya atau adik-adik yang berada di kejauhan ini akan pulang bercuti. Ummi tidak pernah mendesak supaya saya balik awal sekiranya cuti semester bermula. Jauh sekali dia menghalang saya daripada pergi ke program-program. Setiap minggu ummi akan menelefon bertanya khabar anak-anaknya. Itu jugalah cara dia melepaskan rindu yang tidak pernah disuarakan. Ummi tahu anaknya ini “sibuk” benar, hampir setiap malam terlibat dengan mensyuarat itu dan ini. Jadi, ummi hanya akan menelefon pada lewat malam yang sebenarnya pada ketika itu, ummi sepatutnya sudah masuk tidur. Sanggup ummi bersengkang mata. Jika menelefon, ummi akan bercerita tentang karenah nakal adik-adik yang tak berkesudahan. Kadang-kadang, ummi memberitahu tentang tohmahan serta hasutan dengki saudara mara yang terlibat dengan pembahagian pusaka arwah abah yang sampai sekarang masih belum selesai. Bukan senang nak menyelesaikan masalah-masalah tersebut sendirian. Apa sekalipun keadaannya, saya yakin dan percaya, ummi mampu menghadapinya walaupun saya tidak pernah melihat ummi menangis.

Semakin saya menginjak ke kedewasaan, semakin saya mengerti perasaan seorang wanita mulia bergelar ummi. Pengertian itu membuatkan saya berazam, saya sekali-kali tidak akan membelakangkan ummi dalam apa jua yang saya lakukan. Ah, sesuatu yang bernama azam tidak semestinya berjaya direalisasikan. Beberapa kali juga saya telah membuatkan ummi berkecil hati tapi, alhamdulillah, Allah terus menyedarkan saya. Maafkan kak long, ummi! Selamat Hari Ibu! Thank you for being my only mom! Because of you, I am here. The song by In-Team below is my special dedication for you, ummi.

SEGENGGAM TABAH

Bertali arus dugaan tiba
Menakung sebak air mata
Namun tak pernah pun setitis
Gugur berderai di pipi

Tidak ditempah hidup sengsara
Suratan nasib yang melanda
Menongkah badai melanda
Diredah bersendirian

Bagaikan camar pulang senja
Patah sayapnya tetap terbang jua
Sekadar secicip rezeki
Buat yang sedang rindu menanti

Segenggam tabah dipertahankan
Buat bekalan di perjalanan
Kau bebat luka yang berdarah
Kau balut hati yang calar

Telah tertulis suratan nasibmu
Derita buatmu ada hikmahnya
Terlukis senyum di bibir lesu
Tak siapa tahu hatimu

Biarpun keruh air di hulu
Mungkinkah jernih di muara
Biarpun jenuh hidup dipalu
Pasti bertemu tenangnya

No comments: