Wednesday, July 22, 2009

Jauh

Hawa semulajadi yang agak sejuk dek hujan turun mencurah-curah pada malam itu menyebabkan aku sedikit liat untuk bangkit dari peraduan. Huargghh...geliat sikit, biar hilang liat tu! Mata yang berat terpaksa kubuka perlahan-lahan. Sedar-sedar, suami sedang merenungku sambil tersenyum. Aku jadi termalu sendiri pula.

"Alhamdulillahillazi ahyaana ba'da ma amaatana wa ilaihinnusyuur"
Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami setelah kami dimatikan dan kepadaNyalah tempat kembali.

Di pagi Rabu itu, aku mengikut suami pulang ke rumah mertua untuk menyambung kerja-kerja membuat rumah yang masih belum siap. Rumah diperbesar. Rumah asal sudah dirobohkan tak lama dulu dan digantikan dengan rumah batu, bukan lagi papan. Sesuailah dengan kehendak semasa, keluarga besar dan ramai yang sudah berumahtagga.

"Sayang, dah ambil broadband?", suamiku bertanya sedang kami beriringan menuruni tangga rumah.

"Dah, abang. Ini dia", kataku seraya mengunjukkan gajet putih biru yang berbentuk bujur itu kepadanya.

Broadband menghubungkan kami dengan dunia tanpa batasan walau di mana sahaja kami berada. Terima kasih, broadband! Huhu, walaupun kelajuannya tak seberapa tapi kami tetap bersyukur. Emel dan blog boleh dikemaskini selalu. Berita terkini boleh dicapai melalui mana-mana saluran yang kami suka. Boleh juga dipinjamkan kepada sesiapa yang memerlukan. RM 68 sebulan. Boleh dikatakan agak berbaloi.

Justeru, pagi ini, sementara suami menolong Abah membuat tangga hadapan, aku meneruskan penerokaan di dunia maya. Itu pun, setelah aku siap mengemas rumah.

'Waah..ramainya yang online di Facebook pagi ini!', ngomelku sendirian.

Sedang aku membaca segala macam updates & komen yang ditinggalkan di profilku, tiba-tiba mataku tertumpu kepada status Fikri, kawan sekelasku di UIA Kuantan.

"Yea, dpt keje kat penang! tp xtau spital maner...hmmm"

Maksudnya apa? Maksudnya, kami dah boleh tahu dimanakah kami bakal ditempatkan selama setahun sebagai provisionally registered pharmacist (PRP) tak lama lagi. Tak semena-mena, jantungku berdegup kencang. Moga-moga kami suami isteri ditempatkan dalam satu negeri. Tanpa berlengah lagi, aku mendapatkan suamiku di luar rumah. Bersungguh-sungguh nampaknya kesayanganku itu memunggah pasir sehinggakan manik-manik jernih turun membasahi dahi dan lehernya. Habis lencun baju yang dipakai.

"Abang, budak-budak ni ramai yang dah tahu boleh negeri mana. Abang tak nak call lagi ke?", ayat penyataan yang disusuli pertanyaan itu terus membuatkan suamiku menghentikan kerja-kerja yang sedang dilakukannya.

"Jom!", sambil menyeka peluh di dahi, suamiku bergegas masuk ke dalam rumah dan menerpa ke arah telefon bimbitnya di dalam bilik tidur kami.

Aku hanya sempat mendengar salamnya dan ucapan selamat pagi kepada orang yang bercakap di talian, diiringi dengan pertanyaan untuk mendapatkan maklumat tentang penempatan kami. Perbualan selepas itu tidak dapat aku dengar butir bicaranya dengan jelas kerana suamiku sudah bangun dan mundar-mandir di ruang tamu sambil telefon ditekapkan ke telinga. Agak serius perbualan itu. Oh, Tuhan!

"Abang, macam mana? Kita dapat negeri mana?", soalku sejurus suami masuk semula ke dalam bilik. Ada debar di hati.

"Sayang dapat KB", jawab suami. Alhamdulillah, dapat pilihan pertama, negeri sendiri. Namun, mengapa tiada nada ceria di situ? Tiada senyuman terukir.

"Abang?", aku masih menghujani persoalan kepada suamiku.

Senyap. Suami memandangku dengan pandangan yang semacam tidak bermaya. Mata itu kulihat sungguh keletihan. Lantas, suamiku tertunduk memandang lantai.

"Sayang, abang dapat Pahang", oh, jawapan yang sungguh menyesakkan dadaku. Terus, air mataku bergenang. Aku terpana.

"Abang, kenapa macam ni? Kenapa?", aku sudah mula merasakan betapa siksanya kejauhan yang terpaksa kami hadapi. Sungguh, aku tidak kuat untuk menghadapinya.

"Abang tak tahu, sayang. Abang sedih. Abang dah tulis semua alasan yang ada supaya kita ditempatkan di negeri yang sama. Sungguh abang tak sangka, diorang tak consider langsung!", mata suamiku turut mula kemerah-merahan lantas kami tersedu-sedan dalam dakapan masing-masing. Lama kami begitu, sungguh kami tidak sekali-kali mahu meleraikan dakapan yang erat ini.

Pasti! Kami pasti akan membuat rayuan supaya suamiku ditukarkan penempatannya ke Kelantan atau sekurang-kurangnya Terengganu. Alasan yang bakal kami kemukakan itu kukuh: status sudah berkahwin, mertuaku mempunyai masalah kesihatan yang membimbangkan dan perlu diberi perhatian sewajarnya sedang ipar-iparku yang lain berada jauh dari Kelantan, dan tiadanya orang lelaki yang boleh menjaga ummi dan adik-adikku di rumah yang sekarang ini semuanya didiami oleh kaum hawa.

Sejak dari tengahari itu, deretan panggilan dibuat oleh suamiku untuk mengetengahkan rayuan ini dan jika keadaan mendesak, kami akan ke Putrajaya untuk bersemuka dengan pegawai yang berkenaan.

Sahabat-sahabat, doakan kami ya! Doakan yang terbaik buat kami!! Doakan juga supaya kami kuat untuk menerima apa jua keputusannya nanti..

P/S: Seandainya kami terpaksa berjauhan juga, kami harus menerima bahawa itu hanyalah ujian kecil meski dikala ini sengsara sudahpun melitupi jiwa. Aku masih tidak mampu menduga bagaimanakah rasanya pahit getir ujian yang lebir besar. Perpisahan yang abadi serta SYAHID. Ya, Allah!

2 comments:

fay said...

saya doakan insyaAllah.

love u kak AC!

pencintaIlahi said...

salam buat k.ac..wani pun rs trut sama bsedih ats ape yang sdg k.ac hadapi..smoga KUAT dalam mnempuh ujuanNya n moga Allah bri ape yg TBAIK buat kalian:)