Monday, July 20, 2009

Empat Jenis Abu

Di suatu pagi yang hening, seusai aku dan suami menikmati juadah sarapan pagi di rumah mertuaku, suamiku menghidupkan suis komputernya di dalam bilik yang kami duduki. Satu fail kuliah agama dimainkan oleh windows media player. Tazkirah dhuha untuk hari ini sedang berkumandang mengisi ruangan bilik yang bersegi empat. Tanganku pula semakin ligat mengemas katil, menepuk-nepuk bantal dan membetulkan letak duduk cadar dan selimut.

"Siapa yang bagi kuliah ni, abang? Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man kah?", aku meminta kepastian daripada suamiku yang sedang asyik di hadapan skrin.

"Ha'a, Ustaz Tuan Ibrahim", suamiku mengiyakan sambil menoleh ke arahku.

"Sayang suka dengar ceramah dia..best!", aku menghampiri suamiku setelah katil siap kukemaskan. Lalu, kuliah itu kami hayati bersama-sama.

Ya, tutur kata ustaz begitu teratur. Butir bicaranya bersendikan dalil, bersulamkan sirah nabawiyyah yang dikaitkan iktibarnya dengan isu-isu semasa..terus meresap ke dalam lubuk jiwa yang paling dalam.

"Sayang, abang nak pergi tolong abah buat kerja bancuh simen tu dulu..sayang dengarlah kuliah ni ye"

"OK, abang. Abang nak sayang bantu apa-apa? Sekejap lagi sayang nak mengemas ruang tamu"

"Sayang buatlah apa yang patut..dah siap nanti rehatlah"

"Baik!!", aku tersengih dan terus mengalihkan perhatian kepada kuliah setelah suamiku beredar.

Banyak yang diperkatakan oleh ustaz dalam siri kuliahnya ini. Salah satu perkara yang mahu aku kongsikan di sini ialah berkenaan tajuk di atas. Empat Jenis Abu. Ini bukanlah darihal abu rokok atau abu kayu bakar. Ini adalah fakta mengenai 4 jenis Abu yang wujud sepanjang zaman. Maksudku, sifat keempat-empat orang Abu ini boleh didapati pada setiap generasi manusia hingga ke hari kiamat.
  1. Abu Bakar: Salah seorang khulafa' ar-rasyidin, sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang paling akrab dengan baginda, membenarkan apa sahaja yang baginda sampaikan meskipun pada ketika semua manusia menidakkannya, menyerahkan apa sahaja yang dimilikinya untuk Islam sehingga yang ditinggalkan untuk keluarganya hanyalah Allah dan Rasul, sentiasa bersama Nabi sewaktu senang dan susah, berjihad untuk meninggikan kalimah Allah dengan apa jua cara, beramal dan mengajak orang lain beramal bersama, memerangi orang-orang yang berpaling tadah daripada Islam dengan sepenuh usaha.
  2. Abu Sufyan: Di awal dakwah Nabi, dialah antara orang-orang yang lantang memusuhi Nabi dan ummat Islam. Di medan perang dia membunuh orang-orang Islam. Namun, setelah beroleh hidayah daripada Allah ta'ala, di episod akhir usianya, nikmat Iman & Islam dia berjaya kecapi. Lantas, dia bertukar fungsi. Dia akhirnya membenarkan segala seruan Nabi dan mula bersama-sama baginda dalam perjuangan yang murni.
  3. Abu Talib: Salah seorang bapa saudara Nabi yang sangat-sangat menyayangi Nabi, sanggup membela Nabi dan melindungi baginda hinggalah dia menemui ajalnya. Dia diseru oleh Nabi ke jalan Allah. Namun, hidayah itu bukan milik Nabi. Bapa saudara Nabi ini, walaupun sangat baik terhadap orang-orang yang memperjuangkan Islam, dia akhirnya mati dalam keadaan dirinya tidak sempat mengucap dua kalimah syahadah.
  4. Abu Lahab: dialah sejahat-jahat manusia yang menzalimi Nabi dan pengikut baginda, namanya dilaknat dan seterusnya diabadikan dalam al-Quran sebagai pengajaran. Meskipun bergelar bapa saudara Nabi, dialah sang penentang agung kepada kebenaran yang hakiki. Baginya, "buatlah apa sahaja, asalkan Islam tidak bertakhta di hati manusia. Tawarkanlah harta, pangkat dan wanita kepada pejuang-pejuang Islam ini, nescaya kepalsuan teguh terpasak di muka bumi. Siksalah siapa sahaja yang menyekat usaha-usaha ini".
Sesungguhnya, mati itu amatlah pasti. Justeru, biar kita mati seperti matinya Abu Bakar as-siddiq yang sepanjang hidupnya tiada yang lain kecuali Islam, Allah dan RasulNya. Jika sebelum ini kita pernah tersasar seumpama Abu Suyfan, ingatlah, Allah itu Maha Pemberi Hidayah dan Maha Penerima Taubat. Bertaubatlah sekarang dan usah bertangguh untuk Islam.

Menerima Islam.
Mengamalkan Islam.
Menyebarkan Islam.
Menegakkan Islam.
Mendokong Islam.
Menjaga Islam.
Memelihara Islam.
...dulu, kini dan selamanya.
ALLAHU AKBAR!

No comments: