Tuesday, November 04, 2008

Allahummarhamna bil Qur'an!

Panggilan telefon daripada ummi sebentar tadi telah mengganggu konsentrasiku daripada terus mentelaah Clinical Practice Guidelines for Management of Adult Asthma. Sejurus ummi menamatkan panggilan, berjuraian air mataku mengalir dengan sendirinya. Entah kenapa aku tiba-tiba merasa hiba sekali sedangkan aku masih belum mampu memiliki peribadi seperti Abu Bakar As-Siddiq yang sangat murah dengan air mata.

Setakat ini, aku hanya dapat mengenal pasti beberapa perkara yang bisa membuatkan aku menangis. Antaranya, apabila melihat kesungguhan adik-adikku menghafal ayat suci Al-Quran walaupun susah untuk mengingati ayat-ayat tersebut, apabila adik-adikku meminta sesuatu daripadaku yang biasanya anak-anak lain akan meminta daripada ibu bapa mereka dan apabila ada antara adik-adikku yang melukakan hati ummi.

Sebentar tadi, ummi mengkhabarkan kepadaku bahawa adikku Asyraf hampir menamatkan hafazan juzuk 9. Sebenarnya, Asyraf meletakkan target untuk menghabiskan juzuk 9 sebelum balik ke rumah esok, cuti sekolah selama 4 hari. Tapi, targetnya tak tercapai. Pengajian pada tahun ini pula dah menghampiri ke penghujungnya sedangkan dia masih jauh di belakang.

Muqarrar (syllabus) yang ditetapkan oleh pihak pengurusan Maahad Tahfiz Sains Tumpat bagi pelajar tingkatan 2 ialah hafazan hingga juzuk 12. Di samping itu, ada syarat lain yang sering ditekankan oleh para guru: kalau tak lulus dua daripada tiga elemen ni, tak boleh naik ke tingkatan 3 (akademik, al-Quran hafazan & al-Quran bertulis).

Aku sangat pasti bahawa Asyraf mengungkapkan fakta-fakta tadi kepada ummi dengan penuh tenang kerana itu memang sifatnya yang aku kenali. Sebenarnya, dadanya sarat dengan dengan kebimbangan. Aku dapat merasakannya walaupun ungkapan itu tidak pernah keluar dari bibirnya. Aku menyaksikan kecekalannya dengan mata kepalaku sendiri. Subhanallah, kesungguhannya itulah yang memotivasikan diriku.

Setiap kali aku berpeluang untuk balik ke rumah, aku pasti akan menziarahinya di asrama pada setiap hujung minggu. Dan pada setiap kunjungan, aku tidak pernah melihat dia dalam keadaan lain kecuali dia sedang mengaji atau mengulangkaji pelajaran dan sekali sekala bermain ping-pong atau bola dengan rakan-rakan. Tak pernah pun aku datang dan dia sedang tidur. Di rumah, dialah yang paling banyak menghabiskan masa dengan al-Quran. Usai mengerjakan solat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak, dia akan mengaji. Jarang sekali dia menonton televisyen dan kalau ada pun, sekejap-sekejap sahaja.


Di rumah, petang-petang, dia akan bermain ping-pong atau badminton samada bersama adik-adikku yang lain ataupun kawan-kawan sekampung. Masa luang yang ada akan digunakannya untuk menelaah pelajaran, mengaji, menulis seni khat atau melukis; satu lagi bakat yang ada pada dirinya yang tiada pada adik-beradikku yang lain.

Sebelum masuk ke maahad tahfiz pada tahun lepas, aku pernah bertanya tentang cita-citanya. “Nak jadi arkitek”, katanya. Baru-baru ini, aku memuji lukisan yang dihasilkannya. “Ni memang dah boleh jadi arkitek dah ni!”, aku menyatakan kekagumanku. “Tak tahulah Long, tiba-tiba rasa tak nak jadi arkitek. Nak jadi ustaz”, katanya menyatakan hasrat baru. “Boleh je, jadilah dua-dua sekali.. arkitek yang ustaz”, sahutku. Asyraf tersenyum.

Aku mengakui, Asyraf berganda-ganda lebih baik dariku. Hubungan eratnya dengan Al-Quran membuatkan aku termalu sendiri. Dia tak pernah menyakiti sesiapa. Tutur katanya terjaga dan dia sangat tenang. Kopiah tak lekang dari kepalanya dan dia gemar memakai baju berwarna putih. Minta tolonglah apa sahaja, dia akan melakukannya. Teramatlah sukar untuk mendengarnya mendengus marah. Asyraf selalu solat di awal waktu dan sentiasa mahu berjemaah di masjid. Tak perlu disuruh-suruh, tak perlu diajar-ajar. Dia bukan jenis yang akan meminta jika mahukan sesuatu. Hanya sesiapa yang mengenalinya akan mengetahui kehendaknya.

Seringkali aku mengusap kepalanya sambil berkata, “Tak apalah kalau kita lambat dalam hafazan. Yang penting, kita tak lupa apa yang kita dah hafal. Kawan-kawan yang laju tu, belum tentu diorang ingat semua kalau dah khatam nanti. Kadang-kadang, yang senang dapat itulah yang akan senang kita tinggalkan”. Aku amat arif tentang itu!

Hati ini, setiap saat ingin sekali menitipkan kata-kata semangat buatnya. Jangan mudah putus asa, Asyraf! Kak Long yakin, Allah Maha Mengetahui setiap usaha yang kita lakukan. Biarpun ia tiada nilai di sisi sistem yang manusia ciptakan, harga amal soleh di sisi Allah tak tergambar hebatnya. Ingatlah, dik, Allah menciptakan manusia berbeza kebijaksanaannya. Tak ada yang pandai dan tak ada yang bodoh. Ya Allah, rahmatilah kami dengan Al-Quran! Semoga Allah sentiasa memelihara kita dalam iman..ameen.

1 comment:

Amiene Rev said...

Hayakallah,

Good and motivated entry.