Tuesday, June 24, 2008

Apa Yang Penting?

Untuk memahami entri ini dengan lebih jelas, anda dikendaki menonton sekurang-kurangnya sekali rancangan kartun Wonderpets, jam 2.30 petang, setiap hari di TV9, dekat di hati.. (TV9 sepatutnya berbangga mempunyai penonton macam saya yang tolong promote, hehe..)

Apa yang penting?
Kerjasama!
Apa yang penting?
Kerjasama!

Wonderpets, wonderpets, kami datang
Membantu kawan yang kesusahan
Kami tak besar dan kami tak kuat
Bila bekerjasama, semua jadi mudah
Yeaaah, wonderpets! Yeaa!


Buat sahabat-sahabat yang mempunyai adik atau anak buah di rumah, saya pasti, sepanjang cuti ini, lagu Wonderpets lah yang sering berkumandang di pendengaran, siang dan malam. Hehe, mula-mula saya dengar adik bongsu saya menyanyi, saya terhibur juga. Tambahan pula, liriknya amat bermakna.. KERJASAMA! Agaknya, dari manalah dia dapat lirik lagu ni? Rupa-rupanya, setiap kali tepat pukul 2.30 ptg, yang dia duduk tercongok depan TV tu, nak tengok kartun inilah.

Selepas dua tiga kali saya dengar dia asyik mengulang-ngulang bait-bait lagu tersebut. Dengan tak semena-mena saya pun turut terhafal lagu Wonderpets. Haa.. elok lah tu, kak long yang berumur hampir 25 tahun nyanyi lagu kartun dengan adik bongsunya berumur 7 tahun. Tapi best jugak, tau! Ada maksud tersirat di sebalik liriknya.

Budak berumur tujuh tahun ada imaginasinya tersendiri apabila menonton rancangan kartun ini. Dengan itu penafsirannya adalah penafsiran seorang anak kecil yang mungkin melihat kepentingan kerjasama dalam skop yang lebih kecil. Tiga sekawan terdiri daripada seekor hamster, kura-kura dan anak itik, menggelarkan diri mereka Wonderpets, menyelamatkan seekor anak kucing yang ketakutan ataupun bekerjasama menyelamatkan pokok yang hampir mati. Jadi, kalau nak selamatkan apa-apa, kena naik bot terbang, mesti bekerjasama, barulah dapat buat! Bagus betul director & producer rancangan ni. Walaupun bukan beragama Islam, nilai yang diterapkan amat selari dengan ajaran Islam.

Itu sudut pemikiran kanak-kanak. Bagaimanakah pula sepatutnya kita melihat konsep bekerjasama dari perspektif orang yang lebih dewasa? Sudah tentu skopnya lebih luas, bukan? Sepatutnya lebih ummatic! Konsep bekerjasama, atau dalam bahasa Arab, disebut TA’AAWUN. Dalam surah al-Maidah, ayat 2, Allah berfirman, maksudnya:

“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksanya”.

Saya merenung deretan kitab-kitab tafsir yang Abah telah borong tatkala dia mengerjakan umrahnya yang terakhir sebelum dia meninggal dunia. Saya buka jilid 4, tafsir Fi Zilalil Quran yang dihasilkan oleh As-syahid Syed Qutb rahimahullah sewaktu dia berada dalam penjara. Saya cari ayat yang tertera di atas, ternanti-nanti, apakah penafsiran mufassir yang mulia ini. Saya ketemu dengannya. Nah, ini yang dapat saya petik untuk dikongsi bersama-sama sahabat-sahabat sekalian!

1- Dengan cara pendidikan Rabbani, tarbiyah islamiyah telah berjaya mengasah jiwa orang-orang Arab tunduk kepada perasaan taqwa yang kuat & membiasakan diri mereka dengan perilaku yang mulia, sedangkan dulunya, jiwa mereka amat jauh dari tahap dan aliran ini.

2- Cara tindak-tanduk orang Arab yang biasa & dasar mereka yang masyhur ialah: “TOLONGLAH SAUDARA ANDA, SAMA ADA DIA ZALIM ATAU KENA ZALIM”. Itulah perasaan fanatik jahiliyah & perkauman.

3- Pada mereka, bekerjasama & saling membantu dalam kerja-kerja yang berdosa dan menceroboh adalah lebih dekat dan lebih kuat daripada bekerjasama dalam kerja-kerja kebajikan dan takwa. Mereka berikat untuk saling membantu dan bekerjasama kerana kebatilan sebelum bekerjasama kerana kebenaran, dan di zaman jahiliyah, jarang terdapat satu perikatan yang bertujuan membela kebenaran.

4- Kemudian, datanglah Islam dan cara pendidikan Rabbani untuk mengikatkan hati manusia dengan Allah, mengikatkan ukuran nilai-nilai dan akhlak dengan ukuran dan neraca Allah. Ia datang untuk mengeluarkan bangsa Arab dan umat manusia seluruhnya dari kefanatikan jahiliyah, dari ta’sub perkauman, dari tekanan perasaan dan emosi peribadi dan dari sentimen kekeluargaan dan kesukuan dalam bidang mu’amalah dengan kawan dan lawan.

5- “Manusia” telah dilahirkan semula di Semenanjung Tanah Arab, iaitu manusia baru yang berakhlak dengan akhlak-akhlak Allah. Ia juga merupakan hari kelahiran yang baru bagi bangsa Arab dan juga manusia di seluruh bumi ini.. menampakkan lagi betapa jauhnya jurang antara dasar jahiliyah dan ufuk Islam yang tinggi!

Dengan kata lainnya, bekerjasamalah kita di atas dasar takwa kepada Allah, berjamaahlah kita kerana iman kepadaNya. Jika takwa masih belum dipasak sebelum kata dikota, jika jemaah di intima’ sedangkan iman tiada, kerjasama itu mungkin atas kehendak nafsu semata-mata, berjamaah itu bukannya lillahi ta’ala (na’uzubillahi min zalik!). Lantas, mana mungkin permuafakatan itu membuahkan keberkatan? Jaddidu imaanakum! Allahu ta’ala a’lam.

Hmm..kembali kepada Wonderpets. Ada lirik terbaru yang digubah oleh bapa saudara saya, Ayah Su dan sekarang menjadi nyanyian yang meniti dibibir adik-adik dan sepupu-sepupu saya yang masih kecil.

Apa yang penting?
Jange bbaloh!
Apa yang penting?
Jange bbaloh!


Ramai-ramai mereka menyanyikan versi baru ini sewaktu mereka berkejar-kejaran di sekeliling kampung. Saya tersenyum. Iyalah, sedang mereka bertelagah sesama sendiri, tiba-tiba ada orang nyanyikan lagu ini. Hmm, tak jadi nak gaduh. Bijak, bijak!

No comments: