Wednesday, June 17, 2009

KB-Seremban-Melaka

Sekarang aku & suami sedang menantikan kehadiran….surat lantikan sebagai penjawat awam daripada SPA. Lambat juga ye? Sambil menunggu, kami buatlah apa yang patut..Jalan-jalan makan angin, ziarah saudara mara di kedua-dua belah pihak, memenuhi jemputan kenduri di sana-sini dan mendalami hati budi serta tabiat masing-masing.

Hujung minggu lepas, kami ke majlis perkahwinan sahabat-sahabat seperjuangan kami di Melaka; Dr. Rif’an & Dr. Sarah. Dari Kota Bharu, kami menaiki bas (nak jimat sebab tak kerja lagi) ke Seremban dan menumpang di rumah Badri (ex-president IPhA 2006/2007) seketika untuk khidmat diri & sarapan sebelum Bad membawa kami ke Melaka menaiki keretanya. Apabila dua ex-presidents IPhA bertemu, banyaklah benda yang dibualkan (suamiku ex-president IPhA 2007/2008). Sementelah pula, Bad telah kami kenali sewaktu kami menuntut ilmu di Darul Quran. Emak Bad menyambut kedatangan kami di luar rumahnya yang dipenuhi dengan bunga-bungaan daripada pelbagai jenis. Cantik!

Ternyata, kenangan bersama almarhum Ustaz Kudos (ayah Bad) masih kukuh tersemat di ingatan emak Bad. Beberapa kali beliau menitiskan air mata tatkala bercerita tentang almarhum. Beliau bercerita dengan rela tanpa kami pinta.

“Atas kerusi inilah, ustaz duduk pagi-pagi sebelum subuh, baca Quran”, cerita emak Bad sambil mengunjukkan jari ke sebuah kerusi yang terletak di dapur.

“Dia selalu bangun lebih awal daripada makcik. Segan makcik dibuatnya. Makcik selalu juga berlumba-lumba untuk bangun dan mengaji lebih awal daripadanya tapi selalu kalah”, sambung emak Bad.

“Selepas ustaz dah tak ada ni, makcik cuba baca Quran sebanyak yang mungkin. Kadang-kadang, makcik duduk dalam pondok kat luar tu sambil baca Quran. Setiap kali makcik khatam, makcik akan tanda tarikhnya. Kita baca Quran ni, jangan sekadar baca. Cuba fahamkan maksudnya. Jangan sekali-kali tinggalkan Quran walaupun sehari”, pesan makcik kepada kami dan Bad.

“Dah 6 bulan arwah pergi tapi makcik masih sedih. Bukannya tak meredhai pemergiannya tapi makcik sayu..sedih.. Arwah ustaz sangat-sangat hormatkan makcik”, emak Bad meluahkan rasa di hati sambil mengesat air mata yang tumpah.

“Pernah dulu arwah ustaz suruh makcik mengajar di masjid untuk kaum ibu. Makcik tak nak..segan sebab ilmu pun tak banyak. Tapi, ustaz suruh juga..yelah, kena berkongsi apa yang kita ada walaupun tak banyak. Jadi makcik pun bersetuju. Ustaz datang juga menemani makcik semasa makcik mengajar tapi dia duduk di ruang solat jemaah muslimin la. Dia akan dengar dan meneliti apa yang makcik sampaikan. Kalau ada yang salah, ustaz akan tegur bila dah balik rumah..Dia begitu hormatkan makcik..”

Allahu akbar! Segala jasa baik almarhum begitu dikenang. Semoga Allah menempatkan ruhnya di kalangan para solihin. Ameen!

“Fuuh..”, suamiku mengeluh tatkala kami berada di dalam bilik penginapan sementara di rumah Bad setelah selesai bersarapan bersama Bad dan emaknya.

“Kenapa abang mengeluh?”, aku menduga apa yang bermain di fikiran suamiku.

“Begitu dalamnya cinta seorang isteri! Takut betul abang dibuatnya..”, ujar suamiku.

“Takut?”, aku bertanya menginginkan kepastian.

“Iyalah..takut sebab tanggungjawab seorang suami itu sangat besar. Alhamdulillah, arwah Ustaz Kudos dah berjaya mendidik isteri & keluarganya”, suamiku melontarkan penjelasan.

“Insya Allah, abang. Kita sama-sama berusaha”, aku memujuk hati suami, berusaha memasakkan keyakinan kami kepada pertolongan yang Maha Esa.

Perjalanan kami kali ini agak menyeronokkan walaupun di akhirnya kami tidak berkesempatan untuk bertemu mata dengan kedua-dua mempelai. Barakallahu lakuma wa baroka ‘alaikuma wa jama’a bainakuma fi khair!

Terima kasih, Bad dan makcik, kerana sudi menerima kedatangan kami! Kami sangat-sangat menghargai layanan yang kalian berikan :) Apa yang lebih penting, kalian telah mengajarkan kami satu pelajaran yang sangat berharga. Jazakumullahu khairan kathira!

1 comment:

SoalHati said...

sayu sungguh....:(