Factors required to build professional competency. Hmm, apa kaitannya dengan Management of Research Project? Aku keliru. Aku bingkas bangun dari meja perpustakaan menuju ke arah sebuah PC yang berhampiran untuk meng'Google' istilah-istilah yang tidak kufahami ini. Sedang asyik melayari Internet, aku mendengar bunyi gegaran dari telefon bimbitku yang berada di atas meja. Ada SMS masuk. Aku biarkan seketika.
Begitu banyak maklumat yang aku perolehi dalam pencarianku di hutan yang bernama Google ini tetapi tidak ada satu pun yang betul-betul menolong aku untuk membuat perkaitan antara isu-isu yang ditimbulkan. Ya Allah, kenapalah susah sangat untuk aku memahaminya? Aku meninggalkan PC dengan hampa dan terus mencapai telefon bimbitku untuk membaca SMS yang baru diterima.
"Akak, kete akak kena saman" - Nadia, 3.46 pm, 13 April 2009.
Suhu dingin beku yang kurasakan sepanjang berada di perpustakaan ini sejak dari pagi tiba-tiba naik dengan mendadak.. PANAS! Amarahku menggelegak. Tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan keadaanku ini melainkan "Sakitnya hati!". 'Mood' untuk mengulangkaji terus terpadam secara automatik dan aku terduduk kaku di bangku perpustakaan ini.
"Ye ke? Kete kte parkg kat mn ek? Ade junior pnjm kelmarin", aku membalas SMS tersebut dengan hati yang sebal.
"Laa..yeke. Kat tepi jalan, yg leh nmpk dr bilik Wan..dia dah xletak ketas merah. Arini saman", balas Nadia.
"Huhu..thnx 4 da info nway :-/", aku mengucapkan terima kasih kepada Nadia.
Sudah dua hari aku tidak menggunakan keretaku. Semalam aku tidak ke mana-mana, hanya mengulangkaji di bilik. Sebelum aku melangkah keluar dari bilik untuk menuju ke perpustakaan pada pagi ini, ada juga terdetik di hatiku untuk menjenguk di manakah agaknya junior itu memakirkan keretaku. Namun, bisikan naluri itu kuabaikan dek kerana percaya bahawa kenderaan itu ditempatkan di tempat yang sepatutnya kerana menurut seorang lagi junior yang memulangkan kunci, keretaku diletakkan di tepi blok M3. Tepi, bukan belakang. Maknanya, keretaku di petak parkir yang betul. Lantas, aku berjalan kaki dari mahallah ke perpustakaan. Tak berbaloi bawa kereta ke KOM, bukannya ada tempat untuk kita parkir pun. Semuanya khas untuk STAF.
Aku memandang Diane yang berada di hadapanku dengan pandangan yang kosong serta nafas yang tertahan. Arrggh..aku sudah tidak tahan dengan birokrasi di UIA! Kenapakah ia berlaku di hari-hari terakhirku di sini? Kenapa di saat aku akan menduduki peperiksaan akhir untuk dua subjek sahaja lagi? Terasa ingin aku keluar dari UIA sekarang juga! Aku sudah tidak betah!
"Diane, kite nak balik biliklah. Dah takde mood dah nak study", aku mengucapkan salam permisi.
Sekarang, pengawal keselamatan semakin ramai di UIA Kuantan. Seiring dengan peningkatan bilangan itu, kes kecurian di mahallah juga semakin bertambah. Syabas, wahai sekalian "pak guard"! Tidak ada satu kes pun yang berjaya diselesaikan, samada kes baru atau kes lama yang bertimbun-timbun termasuklah kes yang menimpa aku dan teman-teman sebilik sewaktu kami di tahun 2. Bahkan, kecurian makin berleluasa. Dunia kampus kini sudah tidak aman!
Agaknya, kerana teramat sibuk menghalang mahasiswa daripada meletakkan kenderaan mereka di tempat parkir sekitar KOM pada siang hari, pengawal-pengawal ini terlalu letih untuk sentri di malam hari. Mungkin, kerana sepanjang waktu pejabat mereka terlalu tekun mengepilkan kertas amaran berwarna merah serta kertas saman pada "wiper" kereta-kereta yang diparkir di tepi jalan belakang mahallah mahasiswi dek kerana tempat parkir yang sedia ada tidak mencukupi, tugas mereka di malam hari terabai. Amaran buat mahasiswi, jangan bersenang-lenang di malam hari kerana keselamatan anda kini sudah tidak terjamin!
Hampir dalam segenap segi STAF lebih diutamakan. Petang-petang, ada Staffs' Games. Kereta mereka yang besar-besar itu diparkir di tepi gelanggang berhampiran mahallah mahasiswi sehingga melingkungi selekoh menyebabkan kenderaan-kenderaan mahasiswi yang keluar masuk seringkali hampir bertembung. Mereka menghalang lalulintas tetapi mengapakah tidak disaman? Kerana mereka itu STAF.
Ada mahasiswa meletakkan kereta di tepi jalan, tetapi tidak menghalang lalulintas. Mengapakah mereka disaman? Kerana mereka mahasiswa, bukan STAF.
STAF bebas menggunakan gelanggang sukan dan padang mahallah pada bila-bila masa kerana mereka adalah STAF. Kita "terpaksa mengalah" kerana kita bukan STAF, kita mahasiswa cuma.
Mahasiswa membayar pelbagai jenis YURAN. STAF menggunakan segala jenis kemudahan.. percuma!
Mahasiswa terpaksa merayu untuk memohon bajet bagi mengadakan aktiviti-aktiviti. STAF membelanjakan duit kita dengan bebasnya di sana sini..percuma!
Sakitnya hati!