Monday, December 31, 2007

Nikmat

Raya haji ni seronok betul boleh duduk relax-relax kat rumah. Time ni la nak balun makanan cukup-cukup, tengok tv puas-puas. Tapi tak elok juga untuk kesihatan kalau asyik macam tu. Buku pun kena jeling jugak, at least. Aku nekad, walau macam mana sekalipun, malam ni kena studi jugak, tak banyak pun tak apa sebab lusa dah nak balik Kuantan semula. Kali ini, Pharmaceutical Analysis II jadi pilihan walaupun subjek ini agak susah untuk dikuasai. Sedang aku mencatat beberapa nota, adik bongsuku Izzah menerjah masuk ke dalam bilik. Agaknya dia cuak, apa yang Kak Longnya tengah buat kat dalam bilik tu, senyap semacam je.

“Kak Long, kenapa Kak Long buang pen ni?”, tanya Izzah yang tiba-tiba berada di sisiku sambil mengunjukkan pen Pilot biru yang baru kucampakkan ke dalam bakul sampah sebentar tadi.

“Oh, pen ni.. Dakwatnya dah habis, dah tak boleh guna. Sebab tu Kak Long buang”, ujarku memberi jawapan.

“Hmm..kalau ada pen yang Kak Long dah tak nak guna, Kak Long janganlah buang. Bagi pada Izzah. Izzah nak guna...nak buat main”, bersungguh-sungguh Izzah berpesan kepadaku.

Tangannya terus menggenggam pen tersebut. Sebentar kemudian dia cuba melakarkan sesuatu di atas kertas untuk menguji kesahihan kata-kataku. Setelah terbukti bahawa dakwat pen tersebut sememangnya telah habis, dia tersenyum puas.

“Kak Long, Izzah ambil pen ni ye”, katanya dengan riak wajah yang penuh mengharap, berukirkan senyuman .

Aku mengangguk lantas mengusap kepalanya beberapa kali. Ada riang berbunga di hatinya, keriangan yang membuatkan tumpuanku terhadap nota di hadapan mata terhenti seketika. Ya Allah, betapa aku kurang mengendahkan perasaan & kehendak orang lain selama ini. Begitu senang aku meminggirkan serta membuang sesuatu sedangkan pada masa yang sama, sesuatu itulah yang menjadi nikmat yang amat bererti bagi insan yang lain. Jauhkan aku daripada kekufuran, ya Allah!

No comments: