Alhamdulillah, akhirnya ada juga kesempatan untuk meneruskan coretan walaupun sebenarnya tak berhasrat pun untuk menaip tentang satu tajuk yang spesifik. Tapi, apabila pandang sahaja laptop di atas meja ni, tangan pantas menekan butang “on”. Taaruf Week 2007/2008 sudah hampir 5 hari berlalu dan kepenatan masih lagi terasa. Maklumlah, bilangan pelajar baru yang mendaftar semakin bertambah melebihi 500 orang tetapi bilangan urusetia masih tetap sama seperti tahun yang sebelumnya. Ada ke patut? Tak patut, tak patut.. Bak kata orang, banyak orang, banyak ragam ataupun dengan bahasa lainnya, banyak kepala, banyaklah songehnya.
Meskipun terpaksa menangani banyak karenah manusia, “SMILE and SALAM” tetap menjadi motto para urusetia sepanjang minggu orientasi ini terutamanya pada hari pendaftaran. Bukankah senyum itu satu sedekah yang paling senang untuk dihulurkan? Bahkan, saya sendiri mengakui bahawa “Smiling is contagious”. Siapa tahu, mungkin senyuman kita itu boleh meleraikan sedikit sebanyak bebanan yang terpikul di bahu seseorang lantas membuahkan satu kelegaan yang tak dapat digambarkan oleh kata-kata! Alamak, terpuitis la pulak..
Sebenarnya nak cerita tentang pendekatan yang saya dan sahabat-sahabat komiti gunakan sepanjang minggu tersebut. Saya dan beberapa sahabat (Rena, Kimi, Nurul, Fatin, Rody, Amir, Syafiq dan Safwan – terima kasih tak terhingga atas bantuan kalian!) telah diamanahkan untuk menguruskan disiplin dan tarbiyah para pelajar. Fikir punya fikir, kami akhirnya bersetuju untuk menjadi kakak-kakak dan abang-abang yang “friendly but strict”, tak ada ragging, tak ada buli. Susah juga tu..macam mana ye nak buat? Pada waktu-waktu tertentu yang memerlukan kerjasama penuh daripada semua pelajar, kami akan bersikap tegas. Untuk slot kosong, kami akan berinteraksi dengan para pelajar menggunakan perwatakan yang lebih lembut dan lebih mesra.
Salah satu aspek yang kami fokuskan ialah pengurusan masa. Tentatif program yang sangat padat selama seminggu sememangnya meletihkan para pelajar sehingga ada yang naik muak dengan segala arahan yang keluar daripada mulut kami. Semua orang terpaksa berkejar ke sana sini dek kekangan waktu yang wujud. Arahan tetap dilaksanakan walaupun tak kurang juga yang tarik muncung, ramai juga yang jeling-jeling pada kami bagai nak juling. Pemberontakan kecil-kecilan seperti itu tidaklah terlalu mengganggu tugas kami sebenarnya. Kami masih mampu bertahan kerana merasakan bahawa ini adalah satu tanggungjawab.
“Okay adik-adik, makan dan mandi setengah jam je, 6.30-7.00 petang. Pukul 7 semua orang kena berkumpul di depan bangunan ni untuk bergerak ke Musolla beramai-ramai. Sesiapa yang lambat akan didenda!”
“Dalam masa 3 minit, lipat dan susun telekong elok-elok, kemudian terus naik ke auditorium. Kalau lambat, adik-adik akan dapat hukuman! Sementara tu, pastikan Musolla bersih daripada sampah-sarap”
“Sesiapa yang tidak menghadiri program ni walaupun hanya satu slot, akan mengikuti program yang sama pada tahun hadapan!”
“Kepada adik-adik yang namanya akan disebutkan nanti, sila datang berdiri di depan pentas dengan segera. Nak ‘interview’ sikit.”
Itulah antara dialog-dialog yang kami gunakan. Bosan memanglah bosan, tapi kalau tidak dilakukan sebegitu, sudah tentu semua orang akan buat apa sahaja yang mereka suka. Hasilnya, koordinasi program mungkin terganggu, matlamat tak tercapai dan nama baik batch tercemar. Menyedari kemungkinan-kemungkinan implikasi tersebut, mereka terus tidak banyak soal. Alhamdulillah, di akhir program, mereka pandai pula berterima kasih terhadap apa yang telah kami buat. Malah, hubungan di antara kami yang senior dan adik-adik junior pun semakin erat dan ukhuwah semakin mantap.
Benar, sudah menjadi lumrah, kita manusia tidak suka kepada tekanan dan desakan. Kita mahukan kebebasan tanpa adanya kongkongan. Akan tetapi, kadangkala disebabkan ada desakanlah baru kita sedar akan potensi diri kita yang sebenarnya. Kalau tidak kerana desakan untuk meneruskan hidup, ibu burung tidak akan terbang jauh seiring dengan terbitnya mentari di ufuk timur demi mencari rezeki buat anak-anak yang masih berdengkur di sarang. Kalau tidak kerana arahan dan amaran daripada Allah, mana mungkin manusia akan tunduk dan sujud menghadap Penciptanya lima kali sehari kerana makhluk yang bernama manusia ini mempunyai satu sifat yang dipanggil ego.
Justeru, bagi mengawal tinggi rendah tahap ego seseorang itu, terciptalah peraturan Tuhan yang perlu diikuti. Inilah tarbiyah rabbaniyah! Acuan sebeginilah yang harus kita teladani. Dalam konteks ini, idea liberalism langsung tidak boleh diguna pakai oleh manusia kerana ia terlalu mengagungkan hak kebebasan mutlak yang sememangnya mengancam kesejahteraan manusia itu sendiri. Tidak wujud konsep kebebasan mutlak dalam dunia ini. Sedangkan peredaran bulan dan bintang pun mengikut peraturan yang ditetapkan Allah bagi mengelakkan berlsayanya kemusnahan alam, inikan pula kita manusia yang penuh dengan keegoan, yang langsung tidak mengetahui hitung nasib diri kita di masa hadapan.
Lalu, datanglah rahmat dan kasih sayang Allah meliputi seluruh alam buana ini. Allah, yang hanya Dia seorang sahaja yang benar-benar maklum akan hakikat penciptaan diri manusia telah melandasi kehidupan manusia dengan peraturan ciptaanNya, agar nanti manusia tidak merana dan menyesal di alam yang abadi, alam akhirat, dek kerana keegoan yang membatu sewaktu hidup di muka bumi. Jadi, berkuasa sangatkah kita untuk menghentikan putaran dunia pada saat ini sehingga bisa mengenepikan hukum Tuhan? Wujudkah lagi di sana liberalism yang boleh menyelamatkan kita daripada menjadi bakan bakar api neraka? Bebaskah kita nanti? Ternyata, konsep kebebasan mutlak terlalu rapuh untuk didokongi!