Ramadhanku datang lagi. Namun, kedatangan Ramadhan pada kali ini terlalu berbeza caranya berbanding tahun-tahun yang sudah.
Ramadhan ini,
Aku bergelar ibu kepada seorang anak kecil yang kini berusia 4 bulan - solat sunat tarawih hanya mampu didirikan berseorangan di rumah selepas Awatif nyenyak tidur. Cuma sekali aku berkesempatan untuk solat di masjid dan ini menjadikan aku sering mengintai peluang untuk mengulanginya. Apa yang selalu terjadi, pabila si anak tidur, si ibu pun turut terlena sama sewaktu menyusukan anakanda tercinta. Lalu, tarawih dan tadarus Al-Quran dikerjakan pada dini hari. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada juga peluang! Terima kasih tak terhingga kepada Abang kerana tak jemu-jemu mengingatkan diri ini untuk sama-sama meningkatkan ibadah berbekalkan kudrat & peluang yang ada.
Ramadhan ini,
Aku masih lagi seorang PRP - harus lebih kuat semangat untuk bekerja meski badan kepenatan. Bahagian-bahagian kosong di dalam buku log itu perlu diisi walau dengan apa cara sekalipun! Terkejar-kejar ke sana sini itu lumrah. Kerja-kerja di hospital yang tak berkesudahan sering membuatkan aku pulang ke rumah pada lewat petang. Duduk berehat sekejap bersama suami serta bermain-main dengan anak sekejap dan azan pun berkumandang menandakan masuknya waktu maghrib & berbuka puasa. Masa kurasakan terlalu singkat buat kami!
Ramadhan ini,
Cabarannya adalah lebih daripada biasa. Aku seolah-oleh mengalami keletihan yang melampau sehingga sering saja terlelap sewaktu memandu. Ya Allah, jauhkan aku daripada kecelakaan jalan raya! Penyebabnya mungkin bukan satu. Mungkin kerana penat bekerja dan badan kurang tenaga. Pun begitu, aku masih bertekad untuk menyusukan anak secara eksklusif selagi diberi peluang oleh Allah. Jadual mengepam masih diteruskan seperti sebelum puasa demi mendapatkan hasil yang terbaik untuk disuap kepada anak.
Ya Allah,
Berikanlah kami kekuatan dan kesabaran dalam beribadah!
Ayuh semua..
Hidupkalah Pesta Ibadah ini!
Moga Lailatul Qadr bakal kita temui
Ameen ya rabb..