Tuesday, April 20, 2010

14 Hari

Hari ini genap 2 minggu usia si kecil Awatif. Entah berapa kilo dah agaknya anakku ini. Ketika lahir, beratnya 2.97kg. 10 hari kemudian, dah pun naik ke 3.45kg. Alhamdulillah, setakat ini, Awatif tak banyak meragam. Dia cuma akan menangis setiap 2 atau 3 jam sekali kerana lapar. Setelah disusukan dan lampinnya ditukar, Awatif akan kembali tidur..hobi si kecil.

Dengan dagu sejemput milik suamiku dan kedua-dua belah pipinya yang semakin montel, semua orang geram melihatnya terutamanya ibu-ibu saudaranya Izzah a.k.a. Cik Sue dan Hanin a.k.a. Cik Nin yang selalu sahaja menyentuh dan terkadang mencubit manja pipi Awatif. Pagi-pagi lagi, sebelum melangkah ke sekolah, mereka akan menjenguk anak saudara mereka dahulu. Ummiku a.k.a neneknya pun begitu. Keadaan yang sama juga berlaku sejurus mereka pulang dari sekolah.

Suamiku, baba Awatif, kini semakin pandai menguruskan bayi..dah boleh dinobatkan sebagai bapa mithali! Dari tukar lampin hingga ke menidurkan anak, semuanya bisa diuruskan. Tahniah, Abang! Kita sama-sama berusaha untuk jadi ibu bapa yang terbaik ye.. Seringkali timbul perasaan kasihan terhadap suami kerana turut terpaksa berjaga malam apabila Awatif merengek, sedangkan di siang harinya beliau sudah penat bekerja. Apakan daya, inilah antara cabaran-cabaran yang akan ditempuhi oleh ibu bapa yang berkerjaya. Aku pun bakal menghadapinya setelah kembali semula ke alam pekerjaan selepas habis cuti 60 hari ini.

Oh, terasa cepatnya masa berlalu! Kasihan Awatif..nanti akan ditinggalkan oleh baba & mamanya yang perlu keluar bekerja. Keluar rumah pada jam 7 pagi, sampai di rumah pada jam 6 petang. Sungguh hati ini tidak rela berjauhan dengan si anak! Sekali lagi, cita-citaku untuk menjadi suri rumah sepenuh masa semakin membara..huhu..

Tuesday, April 13, 2010

Seruan Penuh Kelembutan


Alhamdulillah, segala puja dan puji dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas segala nikmat yang dikurniakanNya. Pada jam 9.23 malam, tanggal 6 April 2010, seorang mujahidah selamat dilahirkan secara spontaneous vaginal delivery (SVD) di bilik bersalin HUSM, Kubang Kerian. Inilah dia puteri sulung kami, penyubur kasih antara aku dan suami. Dengan kuasa Tuhan, lahirnya ke dunia awal seminggu daripada tarikh jangkaan.


Kami menamakan buah hati kami ini dengan nama Nidaaul Awatif binti Mohd Azreen.. "seruan penuh kelembutan". Awatif, sesungguhnya, kelembutan dikaulah yang menjadi penyejuk mata Mama & Baba. Ya Allah, berkatilah dan rahmatilah keluarga kami ini!


p/s: Sila kunjungi blog keluarga kami untuk perkongsian yang lebih menarik!