- Hormatilah orang lain jika kita mahu orang lain menghormati kita
- Manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan. Betulkan kesilapan itu dengan cara yang Nabi kita ajarkan
- Bertabahlah dan usah kecewa kerna kita masih mempunyai DIA!
Wednesday, July 07, 2010
Bertabahlah!
Sunday, June 13, 2010
Kembali Bekerja
- menolong menyediakan investigation paper untu kes-kes serbuan yang telah dilakukan
- membuat pemeriksaan di klinik-klinik perubatan dan premis-premis yang berkaitan
- menyediakan laporan pemeriksaan yang dibuat
- membantu mengendalikan barangan eksibit
- membantu pemeriksaan di pintu masuk ke Malaysia (entry point), Rantau Panjang
- mengendalikan pameran berkenaan ubat-ubatan
- menghadiri perbicaraan kes di Mahkamah Majistret Kota Bharu
Tapi, dalam banyak-banyak perkara baru yang aku lalui ini, ada satu peristiwa yang tak boleh aku lupakan. Pada hari pertama aku kembali masuk kerja, anakku Awatif meragam dan hanya berhenti menangis setelah keletihan. Hisap susu perahan yang diletakkan dalam botol susu pun tak nak hinggakan mak cik pengasuh pun sudah hilang arah, dah tak tahu nak buat macam mana. Mengetahui hal ini, aku menjadi semakin sedih dan tak semena-mena aku menangis. Mujurlah suamiku bekerja shift petang pada hari tersebut. Akhirnya, suamiku membawa Awatif ke tempat kerjaku pada waktu rehat tengahari untuk disusukan. Fuuuhhh..cobaan!
Alhamdulillah, setelah 2 minggu berada dalam proses adaptasi yang disertai dengan solat hajat pada setiap malam, menguruskan Awatif kini menjadi semakin mudah Stok susu perahan yang ditinggalkan juga sudah semakin banyak dihisap. Lega hatiku! Membesarkan anak memang mencabar. Betul-betul perlu banyakkan minta pertolongan daripada Allah dengan SABAR dan SOLAT.
Monday, May 31, 2010
Di Sini, Di Sana
- Judi & arak dihalalkan..sudah terang lagi bersuluh bertentangan dengan agama. (sila rujuk tafsiran ayat 219 Surah Al-Baqarah). Kalau begitu, kenapa pelacuran tidak dihalalkan oleh kerajaan? Kan bagus kalau ada lesen untuk buka premis pelacuran..kalau ada lesen, kerajaan boleh dapat untung. Siapa yang tak ada lesen, barulah akan dikenakan tindakan. Kalau kena tindakan, duit saman akan masuk poket kerajaan..jadi, kerajaan masih boleh dapat untung. Nanti duit itulah yang akan digunakan untuk biaya projek untuk rakyat. Duit itu jugalah yang akan digunakan untuk menaikkan gaji penjawat awam. Hmm, sebenarnya kita sekarang ni tengah makan duit haram ke?
- Tanah air semakin tergadai, rakyat masih mamai.. Pemimpin jual tanah air kepada negara asing. Aku rasa Malaysia semakin tak selamat..ye la, celik mata je tahu-tahu tanah kita dah jadi milik orang..tak ke haru? Kalau hari ini sebidang tanah dah terlepas, esok agak-agaknya berapa ye?
- Pembuangan bayi semakin berleluasa, kerajaan siap nak buka pusat untuk menempatkan bayi-bayi yang tak dikehendaki lagi. Uih, makin seronoklah anak-anak muda yang berajakan syaitan kerana akibat tindakan zina mereka nanti bakal mendapat perlindungan dan pembelaan. Jadi, tak ada masalahlah kalau 'buat' banyak kali pun kan?
- Subsidi beberapa barangan harian akan dihapuskan. Jadi, harga barang akan naik walaupun gaji tak naik-naik. Aik, kata ekonomi negara stabil & berkembang? Nampak sangatlah duit rakyat tak diuruskan dengan baik. Betullah, rakyat akan didahulukan untuk merasai kesan kebobrokan pencapaian pemimpin.
- Misi kemanusiaan ke Gaza disekat. Orang awam menjadi mangsa Zionis laknatullah. Tapi, mereka tetap mara, nekad menghulurkan bantuan kepada umat seagama. Malah, yang berlainan agama pun menghayati nilai manusiawi yang semakin rakus diratah Zionis. Apa pula tindakan kita di sini?
- Bayi-bayi Muslim terus dilahirkan di Palestin. Mereka ini bakal pembela agama Allah, mereka ini zuriat yang sangat-sangat dikehendaki. Kelahiran mereka mendapat perhatian ibu bapa, tidak sekali-kali mereka ditinggalkan di tepi longkang atau di dalam semak. Mereka diasuh dan ditarbiyyah dengan jiwa seorang pejuang!
- Kerajaan mereka sangat mementingkan kebajikan rakyat. Sebab itulah mereka tidak sekali-kali sanggup tanah dan minda mereka dijajah orang asing biar sejengkal cuma. Mereka lawan habis-habisan walau nyawa menjadi taruhan. Betapa patriotiknya mereka! Pentadbiran mereka berlandaskan Islam yang sebenar, bukan ambil yang mana suka sahaja.
Saturday, May 15, 2010
Happy Anniversary, Abang!


Alhamdulillah, sudah genap setahun pernikahan kami.
Satu tahun yang penuh dengan warna-warni.
Terasa bagaikan baru kelmarin aku dilamar oleh si dia.
Lamaran yang menenangkan jiwaku yang resah dalam siri-siri istikharah.
Syukur, Tuhan mendatangkannya tepat pada waktunya!
Seolah-olah baru malam tadi aku mencium tangannya, seraya bersambut dengan ciuman hangatnya di dahiku.
Dia suami dan aku isteri.
Setahun ini benar-benar mengajarku erti sebuah perkongsian dalam melayari bahtera kehidupan.
Menyayangi dan disayangi..
Mencintai dan dicintai..
Segala-galanya pasti indah jika bersulamkan redha Ilahi..
Happy 1st Anniversary, Abang!
Terima kasih kerana memberi peluang kepada Sayang untuk menjadi suri hidup Abang..
Terima kasih kerana membawa Sayang ke dalam syurga kebahagiaan bersama Abang..
Moga cinta ini berpaksikan keredhaan daripada Yang Mencipta Cinta..ameen ya rabb!
p/s: Thank you very much, Abang, for the wonderful dinner! I really like the exchanging-love-letter-session ;-)
Monday, May 10, 2010
Selamat Hari Ibu!
Pertama kali aku menerima ucapan "Selamat Hari Ibu". Ucapan ini bukan daripada si anak, tetapi daripada suamiku tercinta. Terima kasih, Abang! Betapa bersyukurnya aku kerana diberikan Allah peluang untuk menjadi ibu kepada zuriat insan yang sangat kucintai, terus menjadikan perjalanan hidupku sebagai seorang hambaNya lebih bererti. Moga-moga, apa yang diucapkan oleh suamiku dimakbulkan Tuhan.
Benarlah seperti apa yang dikata, hanya orang yang merasa yang akan mengetahuinya, hanya orang yang melaluinya akan lebih menghayatinya. Betapa menjadi seorang ibu yang hebat bukan sesuatu mudah..bukan sedikit yang perlu dikorbankan, banyak yang perlu diusahakan. Setelah diri sendiri bergelar ibu, aku kini belajar untuk semakin menghargai jasa-jasa ibuku. Menghormati ibu bukan sekadar suatu tuntutan fitrah, tetapi ia juga merupakan satu tuntutan syariat. Tadabbur sajalah ayat-ayat Al-Quran & Hadith yang mengajak kita supaya berbakti kepada ibu bapa!
Harapanku..
Aku ingin menjadi IBU yang terbaik buat anak-anak
Aku juga ingin menjadi ISTERI yang terbaik buat suami
Ameen ya Rabb!
SELAMAT HARI IBU saya ucapkan kepada ibu-ibu sekalian terutamanya kepada:
- Ibuku Normah binti Din
- Mertuaku Ashiah binti Shafie
- Nendaku Kelthom binti Majid
ROBBIGHFIRLII WALIWAALIDAYYA WARHAMHUMA KAMA ROBBAYAANI SOGHIRAA..
Tuesday, April 20, 2010
14 Hari
Dengan dagu sejemput milik suamiku dan kedua-dua belah pipinya yang semakin montel, semua orang geram melihatnya terutamanya ibu-ibu saudaranya Izzah a.k.a. Cik Sue dan Hanin a.k.a. Cik Nin yang selalu sahaja menyentuh dan terkadang mencubit manja pipi Awatif. Pagi-pagi lagi, sebelum melangkah ke sekolah, mereka akan menjenguk anak saudara mereka dahulu. Ummiku a.k.a neneknya pun begitu. Keadaan yang sama juga berlaku sejurus mereka pulang dari sekolah.
Suamiku, baba Awatif, kini semakin pandai menguruskan bayi..dah boleh dinobatkan sebagai bapa mithali! Dari tukar lampin hingga ke menidurkan anak, semuanya bisa diuruskan. Tahniah, Abang! Kita sama-sama berusaha untuk jadi ibu bapa yang terbaik ye.. Seringkali timbul perasaan kasihan terhadap suami kerana turut terpaksa berjaga malam apabila Awatif merengek, sedangkan di siang harinya beliau sudah penat bekerja. Apakan daya, inilah antara cabaran-cabaran yang akan ditempuhi oleh ibu bapa yang berkerjaya. Aku pun bakal menghadapinya setelah kembali semula ke alam pekerjaan selepas habis cuti 60 hari ini.
Oh, terasa cepatnya masa berlalu! Kasihan Awatif..nanti akan ditinggalkan oleh baba & mamanya yang perlu keluar bekerja. Keluar rumah pada jam 7 pagi, sampai di rumah pada jam 6 petang. Sungguh hati ini tidak rela berjauhan dengan si anak! Sekali lagi, cita-citaku untuk menjadi suri rumah sepenuh masa semakin membara..huhu..
Tuesday, April 13, 2010
Seruan Penuh Kelembutan
Kami menamakan buah hati kami ini dengan nama Nidaaul Awatif binti Mohd Azreen.. "seruan penuh kelembutan". Awatif, sesungguhnya, kelembutan dikaulah yang menjadi penyejuk mata Mama & Baba. Ya Allah, berkatilah dan rahmatilah keluarga kami ini!
p/s: Sila kunjungi blog keluarga kami untuk perkongsian yang lebih menarik!
Saturday, March 27, 2010
9 Bulan Daa..
Di akhir-akhir ini, teman-teman sekerja selalu bertanyakan aku soalan ini: "K. AC, apa perasaan K.AC sekarang ni ye?" Jawapan standardku ialah: "Rasa macam-macam".
Ini merupakan pengalaman pertama kami. Jadi, semua rasa bercampur-baur. Kami suami isteri semakin kerap bermuhasabah diri, adakah kami sudah bersedia sepenuhnya dari segi fizikal, mental & spiritual untuk memasuki alam keibubapaan yang bila-bila masa sahaja dari sekarang akan kami jejaki?
Ditambah lagi dengan satu kerisauan yang sering bermain dalam fikiranku: Seandainya ditakdirkan aku meninggal dunia sewaktu bersalin, cukupkah bekalan yang akan aku bawa menghadapNya? Tatkala persoalan ini melintas di benak fikiran, terus aku membisikkan ke telinga suami, "Abang, tolong maafkan segala dosa dan kesilapan Sayang ye. Bantu Sayang untuk Sayang jadi isteri Abang yang solehah".
-Read more in Permata Mustofain-
Sunday, February 14, 2010
Simpan Dahulu, Kemudian Guna..
Aku agak jarang keluar makan di luar kampus & membeli-belah ketika betul-betul perlu sahaja..sehinggakan ada beberapa orang kawan menegur, "Kak AC, kalaulah saya bawa kereta sendiri macam Kak AC, tiap-tiap hari saya akan keluar makan kat luar. Boringlah makan kat cafe mahallah ni, lauk sama je!". Aku tersenyum sambil menjawab, "Hee..so far ok lagi, boleh bertahan dengan lauk-lauk kat sini. Lagi pun, malaslah nak keluar..tapi tak adalah tak keluar langsung".Selalunya aku akan keluar kalau ingin belanja kawan-kawan minum atau makan, tak kisahlah sempena apa pun. Seronok apabila sekali sekala berkumpul ramai-ramai ambil angin luar.
Sekarang, alhamdulillah..sedar tak sedar, sudah hampir 6 bulan aku bekerja. Bermakna, sudah hampir setengah tahun jugalah aku menguruskan duit gaji sendiri dan kewangan suami. Waah, sepatutnya dah ada assessment ni! Key-performance index in financial management. Sebagai muhasabah, silalah wahai diri, semak setiap perbelanjaan bagi perkara-perkara yang telah anda tetapkan di bawah ini dan cuba kira berapakah purata yang telah anda capai?
- Simpanan tetap bulanan dalam akaun bank - akaun simpanan & Tabung Haji
- Sumbangan bulanan untuk keluarga & keluarga mertua
- Infaq bulanan untuk amal Islami
- Bayaran ansuran duit kereta
- Maintenance kereta + duit minyak
- Belanja bulanan suami isteri
- Lain-lain
- Bayaran sewa/beli rumah (kerana belum mendiami rumah sendiri)
- Belanja untuk anak (kerana anak masih belum lahir)
- Pelaburan (kerana masih dalam peringkat kajian, tak decide lagi nak melabur dalam apa)
- Important & urgent?
- Important but not urgent?
- Not important but urgent?
- Not important & not urgent?
Insya Allah, tak rugi masa depan kalau sekarang berjimat-cermat!
Monday, January 04, 2010
Active-Call
- Aku mengambil kesempatan tika dinihari ini untuk mencoret, sambil menunggu dan bersiap-siaga jika ada pesakit yang datang untuk mendapatkan ubat. Hari ini, aku ditugaskan untuk bekerja di sebelah malam sebenarnya, berdasarkan sistem 24 jam yang baru sahaja diaplikasikan di farmasi HRPZ II sempena tahun baru 2010. Aku dan 2 orang lagi pegawai farmasi merupakan kumpulan pertama yang bertugas secara active-call ini, sempena tahun baru.
- Sekali imbas, aku telah mengakhiri tahun 2009 dan memulakan tahun 2010 dengan BEKERJA. 31 Disember yang lepas, aku hampir sahaja pulang ke rumah pada waktu malam. Dek kerana menolong pegawai-pegawai farmasi di Stor Integrasi menyiapkan segala macam dokumen yang diperlukan untuk proses pembayaran ubat-ubatan & produk-produk bukan ubat yang telah dibeli, aku hanya dibenarkan pulang ke rumah pada jam 6.30 petang. Itu pun setelah aku memberitahu bos bahawa esok & lusa juga aku akan datang bekerja..ya, pada 1 & 2 Januari 2010..di hujung minggu, hari Jumaat & Sabtu.
- Dan hari ini, 3 Januari, aku juga masuk kerja seperti biasa pada jam 8 pagi, tapi pulang lebih awal iaitu pada jam 12.15 tengahari. Aku diberikan rehat sehingga jam 9 malam. Tepat jam 9 malam, aku dikehendaki berada semula di HRPZ II sebagai pegawai active-call..sehinggalah pukul 8 pagi keesokan harinya, 4 Januari 2010. Aduhai, terpaksalah aku tinggalkan suami di rumah! Kerja, kerja dan kerja..Mendengar perkataan KERJA sahaja pun sudah terasa kepenatannya.
- Kenapa perlu bekerja? Itulah soalan yang acap kali aku utarakan kepada suamiku. Jawab suamiku: "Sabarlah Sayang..itu dah jadi tanggungjawab kita. Sebelum kahwin dulu Abang pernah terfikir, kalaulah isteri abang nanti seorang lepasan SPM, abang akan suruh dia jadi suri rumah je. Tapi, oleh kerana isteri Abang ini lepasan universiti, bekerja itu dah jadi tanggungjawab kita kepada masyarakat..lagi-lagilah apabila kita ini pegawai farmasi. Tapi kalau sampai satu tahap, tak mustahil abang seorang je yang kerja, Sayang duduk rumah jaga anak-anak".
- Justeru, bersabarlah..dan perbetulkan niat anda! Jadikan profesion anda satu ibadah! SELAMAT TAHUN BARU!
p/s:
Friday, December 25, 2009
Tentang Mata
Dalam kitab Penawar Hati, perihal menjaga mata diletakkan dalam bab yang pertama, menunjukkan betapa pentingnya kita menjaga pandangan mata demi memelihara kesucian hati. Orang yang memelihara pandangannya daripada melihat perkara yang diharamkan oleh Allah akan dikurniakan kemanisan dalam beribadah dan gembira melakukannya. Alangkah baiknya jika anugerah mata ini digunakan sebaik-baiknya hanya untuk merenung kejadian alam semesta & bertafakur tentang kebesaranNya. Moga-moga terbit kalimah Subhanallah! di akhir pemerhatian kita.
Namun, sebagai manusia biasa yang serba dhaif, kita tak lari daripada sifat alpa, leka atau lalai. Kita sering dan terlalu mudah untuk lupa. Bisa sahaja kita bertenggek di hadapan peti televisyen berjam-jam lamanya kerana ingin menyaksikan berabak-babak lakonan dalam drama bersiri kesukaan atau rancangan realiti TV yang semakin mendapat tempat di stesen-stesen penyiaran. Akhirnya, kita terleka dengan keseronokan dunia dan menghabiskan masa dengan sia-sia.
Masa yang terbuang itu sudah pasti tidak akan kembali. Jika penyalahgunaan mata seperti ini sering sahaja kita lakukan, cepat-cepatlah beristighfar (Astaghfirullahal 'azim!) meminta keampunan daripada Allah sebaik sahaja kita tersedar daripada kelalaian. Benar, kita tidak ma'sum sebagaimana para Nabi tetapi kerana sayangnya Allah kepada kita, dibukaNya pintu keampunan untuk kita selama mana nyawa masih belum tersekat di halkum.
Tatkala ada terdetik di dalam hati untuk melihat perkara yang haram atau sia-sia, pesanlah kepada diri:
- Bukankah Allah yang menjadikan mata ini dan seluruh alam serta isinya yang amat cantik? Sudah tentu yang menjadikan semua ini lebih cantik & lebih mulia serta maha agung daripada segala-galanya!
- Tidakkah kita ingin memandang wajah pencipta kita nanti?
- Layakkah mata ini memandang wajah Allah yang Maha Mulia di akhirat kelak seandainya di dunia ini ia sering memandang perkara-perkara yang ditegahNya?
- Bukan semua manusia akan diberikan kenikmatan melihat wajah Allah di akhirat kelak. Jadi, berusahalah untuk menjadikan diri tergolong dalam golongan yang dianugerahkan nikmat yang terindah ini!
Saturday, November 14, 2009
Ada Apa Pada Nama?
- mempunyai maksud yang baik
- tidak terlalu panjang
- kalau boleh bermula dengan huruf A
Apabila berbicara soal nama, teringat aku kepada salah satu ayat yang disampaikan oleh suami sewaktu talkshow kami bersama adik-adik Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah tempoh hari.
Katanya, "Kalau kita buat sesuatu yang tak elok, orang bukan sahaja menyebut-nyebut nama kita sebagai pelakunya. Orang akan tanya balik, dia budak sekolah mana? Oh, Maahad Tahfiz Sains. Macam ni hafiz/hafizah? Sekarang, nama sekolah dah pun tercemar. Orang akan tanya lagi, dia ini anak siapa? Heret pulak nama mak bapak kita sekali. Jadi, jagalah akhlaq kita sebagai huffazul Quran".
Maruah. Itulah yang ada pada nama. Nama itu jugalah yang akan diseru di akhirat kelak untuk menerima kitab amalan sama ada dengan tangan kiri atau tangan kanan. Jika maruah dijaga dengan baik di dunia ini, pemilik nama itulah yang bakal berbahagia di akhirat nanti. Semoga kita tergolong dalam golongan ini..ameen!
Sunday, October 18, 2009
Convo 09
- Thank you, Abang, for being by my side during my ups & downs!
- Thank you, Ummi, for everything that you've done since the first time I see this world!
- Thank you, Abah (may his soul rest in peace, ameen..) for inspiring me all the time!
- Thank you, Mek & Abah, for your presence & support!
- Thank you, Diah, for your help since the beginning until the end of the convo!
- Thank you, Jah, for being our photographer!
- Thank you, Daus, for taking care of those little girls!
- Thank you, Hanin & Izzah, for being good little girls & enhancing the joy of togetherness!
- Thank you, everybody! Thank you very much!
Thursday, October 08, 2009
Back to Normal
Terima kasih tak terhingga aku ucapkan kepada semua yang sudi mengambil berat terhadap diri ini: suami tersayang yang tak cukup rehat kerana sabar menguruskan keperluan isteri, ibu dan mertua yang tak jemu-jemu menghulurkan penawar dan doa, serta sahabat-sahabat yang selalu bertanyakan khabar. Terasa diri ini begitu bertuah kerana berada di sisi kalian!
Sejak usia kandungan memasuki second trimester ini, barulah diri ini merasa keperitan seorang ibu mengandung. Bukan senang untuk mengharungi segala alahan yang tak pernah dialami sebelum ini. Semalam, sewaktu memandu kereta pulang dari tempat kerja, tak semena-mena aku termuntah di atas riba..unknown cause. Sejurus sampai di rumah dan mencuci pakaian yang terkena kotoran tadi, aku termuntah lagi tapi kali ini di dalam tandas. Nasib baik! Lagi bernasib baik sebab suami tolong bersihkan kesan muntah di kusyen kereta dengan rela hati (thank you very much, my sweetheart!).
Hari ini, aku dan suami serta beberapa orang ahli keluarga yang lain akan mula bermusafir ke Gombak untuk menghadiri majlis konvokesyen kami. Satu perjalanan yang jauh dan tentunya mencabar! Majlis penganugerahan ijazah untuk graduan dari Kulliyyah of Pharmacy akan berlangsung pada sesi pagi, 10 Oktober 2009 (Sabtu). Huu..tak sabar rasanya untuk bertemu mata dengan sahabat-sahabat seperjuangan! Aku benar-benar rindukan celoteh mereka. See you there, guys! Congratulations!
Saturday, October 03, 2009
Ucapan Selamat
- SELAMAT HARI RAYA!
- SELAMAT BERPUASA 6!
- SELAMAT BERHARI RAYA 6!
- SELAMAT MENGUNDI DI BAGAN PINANG!
- SELAMAT BELAJAR!
- SELAMAT BEKERJA!
- SELAMAT MAJU JAYA!
Saturday, September 05, 2009
Busyra! Busyra!
Ada 2 kegembiraan yang baru sahaja menjengah ke dalam hidupku, alhamdulillahi rabbil 'aalamiin..syukur tak terhingga!
- Rayuan suamiku untuk ditempatkan di Kelantan berjaya. Alhamdulillah, diterima bekerja di Jabatan Farmasi HUSM, Kubang Kerian & akan melapor diri untuk bertugas dalam masa yang terdekat..sekarang tengah tunggu surat tawaran sampai. Terima kasih tak terhingga atas doa kalian! Sekurang-kurangnya kami tak perlu tinggal berjauhan untuk tahun pertama ini.
- Seorang cahaya mata pengikat kasih bakal mewarnai hidup kami. Berdasarkan keputusan urine pregnancy test & imbasan ultrasound, aku disahkan hamil 7 minggu. Kelahiran dijangka pada bulan April 2010. Alhamdulillah! Semoga zuriat ini bakal menjadi salah seorang ansorullah..ameen.
Friday, August 28, 2009
Rutin Impian
Memang benar bagai dikata orang, memasuki alam pekerjaan itu sangat meletihkan, tak sama dengan penat yang kita alami sewaktu bergelar pelajar. Justeru, bagi yang bekerja, hari minggu amatlah dinanti-nantikan. Aku pernah berangan-angan, alangkah indahnya jika setiap hari adalah hari jumaat. Ah, mana mungkin! Ini angan-angan yang pasti tak akan menjadi kenyataan.
Dalam berangan-angan itu, sedar tak sedar, sudah hampir sebulan aku bergelar pegawai farmasi (PRP). Rutinku setiap hari bekerja ialah:
- 7.15 pagi: bertolak ke tempat kerja (setakat ini, suami yang tolong hantar & ambil..terima kasih, abang!)
- 8.00 pagi: screening prescription slips di farmasi satelit
- 9.30 pagi: bergegas ke unit CDR untuk membuat worksheets berdasarkan pesanan yang dipesan oleh doktor, melabel dan menyediakan bahan-bahan untuk proses rekonstitusi
- 1.00 petang: rehat, solat
- 2.00 petang: masuk semula ke unit CDR, monitor pesakit-pesakit kanser yang menerima rawatan kemoterapi di wad-wad tertentu & memberikan kaunseling kepada mereka
- 5.00 petang: dibenarkan pulang =) tapi, solat asar dululah..takut-takut terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas dalam perjalanan pulang ke rumah, lambat pula solat asar nanti.
- 6.00 petang: sampai di rumah..KEPENATAN! Namun, penat berkurangan apabila dapat menatap wajah suami sepuas-puasnya & berehat bersamanya.
Saturday, August 22, 2009
Ramadhan Kareem!

Saturday, August 08, 2009
Minggu Pertama
2 Ogos 09:
Pada jam 8.30 pagi, aku melangkah masuk ke pejabat Kementerian Kesihatan Negeri Kelantan di Wisma Persekutuan dengan ditemani suami tercinta di sisi. Berdebar-debar! Tak tahu ke mana aku akan ditugaskan selepas ini. Di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu kah? Atau di luar daerah?
Aku berkumpul di bilik mesyuarat bersama-sama dengan 11 orang graduan farmasi UiTM dan seorang lagi kawan sekelasku, Nini, yang juga berjaya ditempatkan di Kelantan. Kami memberi sepenuh perhatian kepada taklimat ringkas yang disampaikan oleh pegawai dari Bahagian Sumber Manusia KKM Negeri Kelantan. Kemudian, surat arahan lapor diri di tempat bertugas diedarkan.
Di bahagian atas surat, tertera nama dan nombor kad pengenalanku. Aku meneliti isi surat. ".... anda dikehendaki melaporkan diri kepada Pengarah Hospital Kuala Krai dan seterusnya bertugas di Klinik Kesihatan Kuala Krai.." Begitu lebih kurang bunyi ayatnya. Kuala Krai? Tak ada pun nama hospital ini dalam senarai tempat untuk PRP. Biar betul! Pelbagai persoalan menerjah kotak fikiran dengan serta merta. Kuala Krai-Kota Bharu, lebih kurang satu jam lebih perjalanan. Mahu berulang dari rumah ke tempat kerja? Menumpang? Sewa rumah?
Kemudian, kami diarahkan supaya pergi ke Pejabat Pentadbiran Bahagian Farmasi di Pengkalan Chepa untuk sesi taklimat lain. Bergegaslah kami ke sana dengan menaiki kenderaan sendiri. Nasib baik suamiku sudi menghantarkanku ke sana. Terima kasih, abang! Di sana, kami ditempatkan dalam sebuah bilik mesyuarat. Sempatlah kami bertaaruf sesama sendiri. Sangkaanku tepat sekali. Ternyata, akulah yang paling tua di kalangan kami semua dan satu-satunya PRP di sini yang berstatus ISTERI.
Seorang pegawai perempuan masuk. Kami disapa dengan penuh mesra dan ucapan selamat datang dihulurkan kepada kami penjawat awam yang baru.
"Makluman, ada perubahan dalam surat yang adik-adik terima tadi"
Hah, perubahan? Apakah? Kuperhatikan setiap wajah PRP baru ini berkerut-kerut.
"Surat ini salah kan, kak?", salah seorang PRP bertanyakan pegawai tersebut.
"Ya, ada kesilapan yang telah kami lakukan dan kami mohon maaf banyak-banyak. Sebenarnya, adik-adik semua akan ditugaskan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ 2), Kota Bharu, bukan di hospital-hospital di daerah lain. Selepas ini, adik-adik dikehendaki berjumpa dengan ketua Unit Farmasi HRPZ2, Datin Ainon. Selamat bertugas!"
Di HRPZ 2, kami bertemu mata dengan Datin. Kemudian, kami diarahkan untuk ke pejabat pentadbiran Ketua Pengarah Hospital untuk menyerahkan segala dokumen yang berkaitan dan menyelesaikan perkara-perkara yang bersangkut-paut dengan PRP. Wah, banyak sungguh borang yang perlu diisi! Berpinar-pinar mataku melihat kotak-kotak kecil ini.
Destinasi terakhir kami pada petang ini ialah Unit Farmasi HRPZ 2. Alhamdulillah, nikmatnya dapat duduk! Berjalan kaki ke sana ke mari dengan memakai kasut baru tentunya memenatkan..mujurlah kaki tidak melecet..lenguh-lenguh sahaja. Sesampai kami di sana, Mr. Raj, salah seorang penolong pegawai farmasi (PPF) menghulurkan punch-card kepada kami. Petang ni dah mula punch, esok wajib datang awal dan berada di sini sebelum jam 8 pagi. Itulah antara pesanan-pesanan yang ditinggalkan oleh Pn. Dir, pegawai farmasi bahagian in-patient, sebelum kami melangkah pulang. Hooraaayy, baliiiiiik!
3 Ogos 09:
Kerana tersilap perhitungan sewaktu keluar dari rumah menuju ke tempat kerja, aku punch kad tepat pada jam 8 pagi..huhu, nasib baik! Hari ini kami ke pejabat KWSP untuk membuka akaun. Kalau lambat buka akaun, lambatlah dapat gaji. Gaji akan dipotong sebanyak 11% untuk disimpan dalam akaun KWSP, dalam RM 4oo lebih juga tu. Tak apa, sebagai simpanan hari tua. Sebelum ini, aku dan suami pernah berbincang, kira-kira 2% pendapatan kami akan kami infaqkan untuk gerak kerja Islam, insya Allah. Mulai dari sekarang, haruslah pandai menguruskan wang!
Kami diberikan jadual rotation sebagai PRP sepanjang 52 minggu ini. Bermula pada minggu hadapan, selama 4 minggu aku ditempatkan di Department of Cytotoxic Drug Reconstitution (CDR). Bosku merupakan seorang graduan farmasi dari UiTM, setahun lebih muda dariku. Berkaliber betul orangnya, baru setahun bergelar Fully Registered Pharmacist (FRP), beliau sudahpun diberikan amanah untuk mengepalai departmen ini. Sementara itu, terdapat dua orang graduan farmasi UIAM yang masih berada di HRPZ 2, Kak Huda (first batch yang juga merupakan senior sekolahku) dan Kak Yat. Senior PRP dari UIAM yang masih ada sekarang pula ialah Mira, Afzan, dan Nani. Mereka ini akan menamatkan tempoh sebagai PRP dalam masa yang terdekat.
Mohon tunjuk ajar kalian, ya!
Wednesday, July 22, 2009
Jauh
"Alhamdulillahillazi ahyaana ba'da ma amaatana wa ilaihinnusyuur"
Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami setelah kami dimatikan dan kepadaNyalah tempat kembali.
Di pagi Rabu itu, aku mengikut suami pulang ke rumah mertua untuk menyambung kerja-kerja membuat rumah yang masih belum siap. Rumah diperbesar. Rumah asal sudah dirobohkan tak lama dulu dan digantikan dengan rumah batu, bukan lagi papan. Sesuailah dengan kehendak semasa, keluarga besar dan ramai yang sudah berumahtagga.
"Sayang, dah ambil broadband?", suamiku bertanya sedang kami beriringan menuruni tangga rumah.
"Dah, abang. Ini dia", kataku seraya mengunjukkan gajet putih biru yang berbentuk bujur itu kepadanya.
Broadband menghubungkan kami dengan dunia tanpa batasan walau di mana sahaja kami berada. Terima kasih, broadband! Huhu, walaupun kelajuannya tak seberapa tapi kami tetap bersyukur. Emel dan blog boleh dikemaskini selalu. Berita terkini boleh dicapai melalui mana-mana saluran yang kami suka. Boleh juga dipinjamkan kepada sesiapa yang memerlukan. RM 68 sebulan. Boleh dikatakan agak berbaloi.
Justeru, pagi ini, sementara suami menolong Abah membuat tangga hadapan, aku meneruskan penerokaan di dunia maya. Itu pun, setelah aku siap mengemas rumah.
'Waah..ramainya yang online di Facebook pagi ini!', ngomelku sendirian.
Sedang aku membaca segala macam updates & komen yang ditinggalkan di profilku, tiba-tiba mataku tertumpu kepada status Fikri, kawan sekelasku di UIA Kuantan.
"Yea, dpt keje kat penang! tp xtau spital maner...hmmm"
Maksudnya apa? Maksudnya, kami dah boleh tahu dimanakah kami bakal ditempatkan selama setahun sebagai provisionally registered pharmacist (PRP) tak lama lagi. Tak semena-mena, jantungku berdegup kencang. Moga-moga kami suami isteri ditempatkan dalam satu negeri. Tanpa berlengah lagi, aku mendapatkan suamiku di luar rumah. Bersungguh-sungguh nampaknya kesayanganku itu memunggah pasir sehinggakan manik-manik jernih turun membasahi dahi dan lehernya. Habis lencun baju yang dipakai.
"Abang, budak-budak ni ramai yang dah tahu boleh negeri mana. Abang tak nak call lagi ke?", ayat penyataan yang disusuli pertanyaan itu terus membuatkan suamiku menghentikan kerja-kerja yang sedang dilakukannya.
"Jom!", sambil menyeka peluh di dahi, suamiku bergegas masuk ke dalam rumah dan menerpa ke arah telefon bimbitnya di dalam bilik tidur kami.
Aku hanya sempat mendengar salamnya dan ucapan selamat pagi kepada orang yang bercakap di talian, diiringi dengan pertanyaan untuk mendapatkan maklumat tentang penempatan kami. Perbualan selepas itu tidak dapat aku dengar butir bicaranya dengan jelas kerana suamiku sudah bangun dan mundar-mandir di ruang tamu sambil telefon ditekapkan ke telinga. Agak serius perbualan itu. Oh, Tuhan!
"Abang, macam mana? Kita dapat negeri mana?", soalku sejurus suami masuk semula ke dalam bilik. Ada debar di hati.
"Sayang dapat KB", jawab suami. Alhamdulillah, dapat pilihan pertama, negeri sendiri. Namun, mengapa tiada nada ceria di situ? Tiada senyuman terukir.
"Abang?", aku masih menghujani persoalan kepada suamiku.
Senyap. Suami memandangku dengan pandangan yang semacam tidak bermaya. Mata itu kulihat sungguh keletihan. Lantas, suamiku tertunduk memandang lantai.
"Sayang, abang dapat Pahang", oh, jawapan yang sungguh menyesakkan dadaku. Terus, air mataku bergenang. Aku terpana.
"Abang, kenapa macam ni? Kenapa?", aku sudah mula merasakan betapa siksanya kejauhan yang terpaksa kami hadapi. Sungguh, aku tidak kuat untuk menghadapinya.
"Abang tak tahu, sayang. Abang sedih. Abang dah tulis semua alasan yang ada supaya kita ditempatkan di negeri yang sama. Sungguh abang tak sangka, diorang tak consider langsung!", mata suamiku turut mula kemerah-merahan lantas kami tersedu-sedan dalam dakapan masing-masing. Lama kami begitu, sungguh kami tidak sekali-kali mahu meleraikan dakapan yang erat ini.
Pasti! Kami pasti akan membuat rayuan supaya suamiku ditukarkan penempatannya ke Kelantan atau sekurang-kurangnya Terengganu. Alasan yang bakal kami kemukakan itu kukuh: status sudah berkahwin, mertuaku mempunyai masalah kesihatan yang membimbangkan dan perlu diberi perhatian sewajarnya sedang ipar-iparku yang lain berada jauh dari Kelantan, dan tiadanya orang lelaki yang boleh menjaga ummi dan adik-adikku di rumah yang sekarang ini semuanya didiami oleh kaum hawa.
Sejak dari tengahari itu, deretan panggilan dibuat oleh suamiku untuk mengetengahkan rayuan ini dan jika keadaan mendesak, kami akan ke Putrajaya untuk bersemuka dengan pegawai yang berkenaan.
Sahabat-sahabat, doakan kami ya! Doakan yang terbaik buat kami!! Doakan juga supaya kami kuat untuk menerima apa jua keputusannya nanti..
P/S: Seandainya kami terpaksa berjauhan juga, kami harus menerima bahawa itu hanyalah ujian kecil meski dikala ini sengsara sudahpun melitupi jiwa. Aku masih tidak mampu menduga bagaimanakah rasanya pahit getir ujian yang lebir besar. Perpisahan yang abadi serta SYAHID. Ya, Allah!