Friday, April 13, 2012

Happy Birthday, My Princess!


Alhamdulillah, she is 2 years-old. As my hubby & I sang along the Happy Birthday Song to our princess at 9.23pm on April 6, 2012, she might not truly understand the meaning of the wishes blown to her. Nevertheless, she enjoyed the rhythm very much and clapped both hands at the end of it. With the sleepy eyes half-opened, she gave us a very warm great, big hug ever and kissed us so tenderly which made my eyes shed into tears. God, I was really touched with this blessing of Yours!

My dear Nidaaul Awatif binti Mohd Azreen, may Allah shower you His Blessing in this world and hereafter..ameen!

When someone has asked me these three questions before, I doubt I can answer it sincerely. But now, after 2 years of being a mother, here are my answers which came from the bottom of my heart.

1- The best things when become a mother?

- As a Muslim woman, my rank has been elevated higher than a Muslim man since the day I became a mother to my child. This is a golden chance for me to grab on my way to be a better caliph of Allah in attaining His pleasure.

2- The challenges being a mom?

- The greatest challenge is within myself as most of the time I have to learn to be PATIENT in every single thing I do. Be patient if you think you are out of time and be patient if things go against what you want.

3- Your hope for your child?

- No doubt that I want the best for my child. I hope my child's life is a blessed one, in this world & hereafter.

Thursday, December 15, 2011

Dua Puluh Lapan

Alhamdulillah, pada hari ini genaplah 28 tahun aku menikmati segala anugerah yang dikurniakan Yang Maha Pencipta di dunia ini. Kalau tidak kerana rahmat & kasih sayang Ar-Rahman & Ar-Rahim ini, pasti tidak akan ku miliki kasih sayang & cinta daripada para makhluk di bumi. Bermulanya penciptaan seorang aku dengan kasih sayang, dikandung dan dilahirkan dengan kasih sayang, serta dibesarkan dan dididik dengan penuh kasih sayang. Kasih sayanglah yang membentuk aku seperti mana yang kamu lihat pada saat ini.


Untuk itu, amatlah tidak adil sekiranya aku tidak dapat membalas dengan kasih sayang. Kasih sayang tanpa syarat, itulah yang selayaknya untuk diberi! Entah berapa lama lagi baki yang tinggal untuk aku terus mengabdikan diri kepada-Nya. Namun, besar harapanku agar penghidupan yang mendatang ini terus diliputi dengan kasih sayang berganda, diiringi keberkatan daripada-Nya.


Ameen ya Rabbal 'aalamin!


p/s: JUTAAN TERIMA KASIH & JAZAKUMULLAHU KHAIRAN KATHIRA KEPADA SEMUA AHLI KELUARGA & SAHABAT HANDAI YANG TELAH MEMBERI UCAPAN SELAMAT & HADIAH..SEMOGA KEREDHAAN ALLAH MENJADI MILIK KITA. AMEEN..

Sunday, August 14, 2011

Cerita Ramadhan 1432H

Ramadhan kareem buat semua..

Bagaikan tidak bertuan, penuh sudah sawang di blogku ini. Sedar tak sedar, Ramadhan menyapa lagi. Alhamdulillah, Dia izinkan lagi aku ketemu dengannya. Jika ditanya apa yang istimewa dengan Ramadhan, akan kujawab, "solat sunat tarawih" salah satunya.

Versi tarawih sewaktu bujang tentu sekali amat berbeza dengan versi tarawih apabila sudah mempunyai anak. Begitu juga, versi apabila ada seorang anak akan berbeza dengan versi ramai anak. Cerita Ramadhanku pada kali ini ialah versi mempunyai seorang anak iaitu Si kecil Nidaaul awatif yang berusia 1 tahun 4 bulan.

Sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat Melayu Muslim di Malaysia, anak-anak kecil tidak dibenarkan membuat bising dalam masjid. Ada juga di sesetengah tempat, ibu-bapa akan dimarahi oleh orang-orang tua jika membawa anak-anak kecil ke rumah ibadah ini. Antara alasan-alasannya:
  • 'nanti tak khusyuk sembahyang sebab terganggu dengan bunyi bising, riuh rendah suara kanak-kanak bermain, bergaduh, bertempik & menangis'
  • 'kotor masjid sebab nanti ada yang kencing atau berak merata-rata'
  • 'nanti ada anak-anak yang lalu depan orang sembahyang - tak baik lalu depan orang sembahyang'
Memikirkan keadaan ini, aku dan suami berada dalam dilema buat seketika.

"Sayang terawih kat rumah sajalah", cadang suamiku.

"Alaa, abang..tak best terawih kat rumah. Kat masjid tak boleh ke? Sayang nak jadi makmum abang", tiba-tiba aku berasa sedih kerana bagiku, mendirikan solat terawih seorang diri di rumah kurang feelnya. Juga, tiada peluangku untuk menghayati bacaan Al-Quran pak imam dalam solat kerana itu juga merupakan salah satu cara i'adah hafazan yang aku suka.

"Awatif macam mana, sayang?", soal suamiku menzahirkan kebimbangan yang sama.

"Kita try bawa dulu boleh, abang? Tengok macam mana keadaan dia. Kalau OK, under-controlled, lain kali kita bawa lagi", aku mengutarakan cadangan yang akhirnya dipersetujui suami.

Cubaan pertama,
  • Qaryah Ramadhan di perkarangan Stadium Sultan Mohd IV dipilih untuk cubaan pertama. Awatif nampak kelihatan begitu teruja berada di tengah-tengah kelompok umat Islam yang agak besar ini. Sewaktu semua orang sedang solat Isyak, Awatif berjalan ke sana ke mari di hadapan jemaah yang dikenalinya iaitu mamanya & ibu-ibu saudaranya sambil dia sendiri solat dengan caranya..berdiri tegak di atas sejadah, angkat tangan sambil membaca takbir "Allahu akbar!", aminkan bacaan imam dan rukuk. Dia tidak pergi jauh. Tidak pula mengacau jemaah lain atau kanak-kanak lain. Sekadar rengekan kecil yang tidak begitu kuat, bagiku tidak mengganggu ketenteraman orang lain.
Cubaan kedua,
  • Situasi yang hampir sama dengan cubaan kedua berlaku. Akan tetapi, nasib Awatif tidak berapa baik kerana sewaktu aku sedang solat Isyak, seorang kanak-kanak perempuan yang lebih tua daripada Awatif mencuit-cuit dan cuba memukul Awatif. Geram gamaknya.. Akhirnya, selesai solat, nenek kepada budak perempuan tersebut terus menghantar cucunya pulang ke rumah. Aku pula mengambil keputusan untuk bergilir-gilir sembahyang dengan adikku untuk menjaga Awatif.
Cubaan ketiga,
  • Kami ke Masjid Sultan Ismail Petra,Kubang Kerian. Aku mengambil posisi di salah satu daripada tiang-tiang besar di anjung masjid yang luas ini. Selesai solat tarawih rakaat ke 4, aku mengintai-intai di celahan jemaah masjid, mencari-cari dari manakah suara tangisan Awatif. Oh, dia di saf hadapan sana, berdiri di sebalik tiang sambil menangis! Agaknya, dia mencari-cariku tapi tak jumpa. Aduhai, kesiannya..Awatif tersalah tiang!
Cubaan keempat,
  • Kali ini, Masjid Muhammadi, Kota Bharu menjadi tempat pilihan. Semuanya nampak OK kerana Awatif masih nyenyak tidur sejak dari dalam kereta. Sebaik sahaja Imam berselawat untuk memulakan tarawih, Awatif terjaga dari tidur dalam keadaan terkejut yang amat dek kerana kuatnya bacaan selawat yang dituturkan. Menangislah dia dalam keadaan ketakutan. "Shh, Mama ada, sayang..", aku cuba menenangkannya.
Alhamdulillah, Awatif berjaya melalui situasi baru yang memberikannya pengalaman-pengalaman baru. Bagi kami, lebih baik dekatkan anak-anak dengan masjid seawal usianya yang mungkin. Biar dia kenal rumah Allah dahulu sebelum dia kenal tempat-tempat lain yang belum tentu memberikan kebaikan. Kalau orang Kristian sangat mengalu-alukan kanak-kanak untuk datang ke gereja dengan menjalankan pelbagai aktiviti, mengapa kita orang Islam mahu menyekat anak-anak kita daripada mendekati rumah Allah?

Melentur buluh biarlah dari rebungnya!

Wednesday, May 18, 2011

Positif!

Jangan salah faham, ini bukannya berkenaan keputusan urine pregnancy test (UPT) yang positif. Akan tetapi, di bawah ini ialah satu perkongsian yang akan memfokuskan bahawa "Dalam Hidup Ini Kita Kena Positif"!

Berfikiran positiflah apabila:


  • Anda kerja lebih masa, buat lunch break duty (LBD), kerja non-stop & layak untuk ambil time-off, tapi ketua anda tidak membenarkannya hampir setiap kali anda cuba untuk mendapatkannya. Natijahnya, time-off yang dikumpul menjadi bertimbun-timbun! jangan serik untuk cuba memohon ..cuba lagi, lagi dan lagi sehingga anda dapat.



  • Anda kelelahan melayan karenah anak-anak, memasak, membuat kerja-kerja rumah yang tak berkesudahan. Sayangnya, apa yang anda buat dipandang sepi oleh orang-orang lain seolah-olah apa yang dilakukan itu tidak langsung membekas di hati mereka. Dengan kata lain, perbuatan anda seperti tidak dihargai. Betulkanlah semula niat anda! Bukankah apa yang anda lakukan itu adalah kerana Allah, untuk meraih keredhaan-Nya? Jangan sekali-kali anda dambakan pujian & penghargaan manusia, takut nanti anda yang kecewa apabila tidak memperolehinya.



  • Anda terlalu ingin menghadiahkan sesuatu yang sangat istimewa kepada insan tersayang pada hari istimewa mereka. Hakikatnya, anda tidak punya wang yang cukup untuk dibelanjakan bagi mendapatkan hadiah tersebut. Berlapang-dadalah & berterus-teranglah kepada si dia tentang situasi sebenar anda. Dia pasti dapat menerima keadaan anda seadanya kerana kasih sayangnya yang tidak terperi kepada anda! Teruskanlah azam anda dan cubalah untuk menunaikannya di suatu masa yang lain. Ingatlah, sebaik-baik sedekah (pemberian) ialah sedekah yang diberikan kepada ahli keluarga! Semoga Allah mengganjarimu atas setiap usaha yang kau lakukan.

Berfikiran positiflah dan bertindaklah dengan rasional tatkala diri berhadapan dengan situasi sukar yang meruntun perasaan. Hanya dengan itu, anda akan menjadi lebih tenang dan lebih bertawakkal kepada-Nya. Tidak ada salahnya untuk berasa sedih kerana anda seorang manusia yang normal. Akan tetapi, kawallah kesedihan itu supaya syaitan tidak berjaya menguasaimu! Usah perjudikan dirimu dengan menjadi salah seorang pesakit mental daripada beribu-ribu pesakit mental yang wujud di negara ini kerana anda punya Tuhan yang Maha Mendengar & Mengetahui segala-galanya. Alhamdulillah!

No tension! No stress! Peace...no war!

Saturday, May 14, 2011

Alahai Anak Baba..

Sudah lama aku membuat pemerhatian ke atas perkara ini.

Hipotesisku:
fasa tidur nyenyak Nidaaul Awatif akan berubah coraknya apabila suamiku out-station.

Keputusannya:
Bukan sekali dua, malah hampir setiap kali Abang terpaksa bertugas di luar daerah, Awatif tak akan lena tidur dan mula meragam di tengah-tengah malam.

Kebiasaannya, anakku ini menangis di tengah-tengah malam kerana kelaparan dan tangisanyya akan berhenti apabila dia disusukan. Tapi, lain pula jadinya apabila babanya tiada di sisi. Kekerapan menangis bertambah dengan mendadak. Kadang-kadang, Awatif terjaga, mahu bermain dan tidak mahu tidur semula..dan dia mahu mamanya ini bermain bersama-samanya! Jika sahaja mamanya terlelap, pasti akan dibukanya kelopak mata mama menggunakan jari-jari mulusnya. Sebaik sahaja mama membuka mata, dia pasti akan tersenyum puas kerana kini mama pasti akan menemaninya bermain.

Cameron Highland, 3 Mei 2011

Alahai, anak baba!

Ada orang kata, kalau anak tak boleh tidur malam apabila ayahnya tiada, sebenarnya bukanlah anak tu yang nakkan ayahnya, tapi ibunya yang sedang rindukan ayahnya!

Betulkah? Mungkin ada benarnya =)

Thursday, April 07, 2011

Selamat hari lahir, anakanda!

Sedang aku & Abang bersiap-siap untuk solat Maghrib pada semalam, Abang bersuara, "Pada 6 haribulan 4 tahun lepas abang solat kat mana ye? Hmm.. Abang solat di surau HUSM, siap jadi imam maghrib lagi".

"Ingat lagi kan, masa tu sayang tengah sakit di labour room. Lepas tu Abang balik ke rumah pukul berapa?", aku turut sama mengimbau kembali detik-detik yang begitu cemas tersebut. Cemas, tapi itulah yang manis untuk dikenang.

"Tengah malam, pukul 12 lebih baru Abang balik rumah untuk mandi & ambil barang-barang keperluan", Abang memeberikan jawapan yang dia pun tahu bahawa aku sudah sedia maklum mengenainya.

Serentak, kami berdua mengerling ke arah puteri kecil kami yang sedang tidur di atas katil, lena sekali nampaknya. Barangkali, si kecil ini letih amat pada hari ini dengan jadual aktiviti yang padat di sepanjang hari; mendapatkan imunisasi MMR di KD Lubuk Pukul pada waktu pagi dan meronda-ronda di sekitar bandar Kota Bharu pada petangnya.

Selamat hari lahir, sayangku Nidaaul Awatif bt Mohd Azreen!

Semoga anakanda terus membesar dengan sihat & menjadi hamba yang solehah lagi bertaqwa.

Bantulah kami untuk menuju redhamu, ya Rabb! Ameen..

Tuesday, March 08, 2011

B.E.T.U.L.

"Berat anak encik berapa kilo?", aku bertanya kepada seorang pesakit yang datang ke kaunter farmasi untuk mengambil ubat untuk anaknya.

Tertulis di atas preskripsinya: "Syr. Paracetamol 2.5ml tds" untuk bayi yang berumur 1 tahun.
Yang bermaksud: Ubat demam/tahan sakit (dikenali juga dengan nama Panadol), minum 2.5ml tiga kali sehari.
Ada kemusykilan yang timbul di sini: Betulkah dos ini?

"Hmm, saya tak tahulah berapa berat dia. Dia ada dengan mak dia dalam bilik suntikan. Saya datang ambil ubat je", jawab si encik yang merupakan bapa kepada si kecil yang akan menerima suntikan vaksinasi tersebut.

"Oh, tak tahu? Sebenarnya dos ubat ini ialah berdasarkan berat badan pesakit. Kalau kita bagi tak cukup dos, sakit kemungkinan besar tak akan kurang, demam tak akan sembuh," itu antara penjelasanku terhadap pertanyaan yang aku ajukan sebentar tadi.

Moral daripada kisah benar ini:
  1. Tugas untuk mengetahui tentang perkembangan anak bukan hanya terletak pada bahu si ibu semata-mata. Meskipun ia sekadar berat badan anak, si bapa juga PERLU tahu kerana anak itu adalah ANAK BERSAMA. Jangan sekali-kali menganggap ini hal yang remeh-temeh!
  2. UBAT yang BETUL hendaklah diambil dengan DOS yang BETUL, pada WAKTU yang BETUL, dengan CARA yang BETUL oleh PESAKIT yang BETUL
  3. (Ada lagi tak yang ingin ditambah? Silakan..)

Wednesday, February 02, 2011

1 Februari

Orang-orang KL dapat cuti pada 1 Februari untuk menyambut Hari Wilayah. Tidak kupasti bagaimanakah cara mereka menyambutnya. Aku tidak begitu cakna terhadap sambutan mereka kerana bagiku 1 Februari mempunyai maksud yang lain. Tanggal 1 Februari 1950, abahku dilahirkan. Maknanya, kalau abah masih ada di muka bumi ini, umur abah sudah pun mencapai 61 tahun. Tapi, abah sudah tiada sejak 8 tahun yang lalu. Jasadnya kini selamat bersemadi di alam barzakh.

Sewaktu hidupnya, tak pernah sekali pun kami menyambut hari lahir abah kerana kami tidak pernah diajar untuk mengadakan sebarang sambutan hari lahir atau upacara memberikan hadiah. Pun begitu, kami diajar untuk sentiasa memberikan sejenis hadiah yang begitu istimewa kepada ibu bapa, satu hadiah yang sama yang boleh diberikan secara berulang-ulang. Hadiah ini akan sampai kepada mereka samada mereka masih hidup atau sudah meninggal dunia.

Inilah hadiahnya; DOA ANAK YANG SOLEH.

Rasulullah sendiri pernah bersabda mafhumnya:

Apabila matinya anak Adam, terputuslah segala amalannya kecuali 3 perkara; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan untuknya.

"Allahummaghfirlii wa liwaalidayya warhamhumaa kamaa rabbayaani soghiraa"

Ya Allah, ampunilah dosaku & dosa kedua-dua ibu bapaku sebagaimana mereka menjaga & mengasihaniku sewaktu kecilku.

O Allah, please let our dear Abah rest in peace..ameen!

Wednesday, January 12, 2011

A Journey Without You

2 hari aku memandu sendirian untuk berulang-alik ke tempat kerja kerana Abang out-station. Setiap perjalanan yang dilalui itu kurasakan terlalu panjang jaraknya. Walhal, jalan itu jugalah yang kami lalui tatkala menaiki kereta berdua. Letih, bosan, mengantuk..semuanya ada. Sungguh, kehadiranmu Abang amat bermakna buat diriku!

Lumrah insan, selalunya akan mula menghargai apabila sesuatu itu hilang daripada pandangannya. Tatkala yang sesuatu itu hilang seketika, barulah disedari bahawa sesuatu yang hilang itulah nikmat yang tidak pernah disyukurinya selama ini.

"Jikalau engkau menghitung nikmat yang Allah berikan, nescaya engkau tidak akan mampu menghitung kesemuanya"

Justeru, biarlah kalimah "Alhamdulillah" sentiasa menutur di bibir kita. Moga-moga kita semua tidak tergolong dalam golongan mereka yang kufur.

Sunday, January 02, 2011

Tempat Baru

Alhamdulillah, Tahun baru: Tempat baru, suasana baru. Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa (KKPC), persekitarannya amat berbeza berbanding dengan HRPZ II. Di sini, Unit Farmasi mempunyai 2 orang pegawai & 4 orang pembantu.

Jika ada yang berkata, kerja di KK lebih relax, anda silap kerana keadaan seperti itu tidak berlaku di sini. Sibuk tetap sibuk, cuma gaya sibuknya sedikit berlainan daripada kesibukan di hospital. Purata pesakit yang datang ke unit farmasi ialah lebih kurang 250 orang sehari; memerlukan kewujudan berterusan petugas barisan hadapan termasuklah pada waktu rehat tengahari.

"Apa expectation Datin apabila saya di KKPC?", itu antara soalan yang sempat kuajukan kepada Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi) sewaktu lapor diri pada 19 Disember 2010.

"Antara tujuan kita tambah seorang lagi pegawai dan seorang lagi pembantu ialah untuk baiki beberapa perkara. Pertama, waiting time. Kita nak waiting time less than 30 minutes. Kedua, kad temujanji. Saya nampak sebelum ni tiada peningkatan dalam perkara ini. Saya tahu, awak antara orang kuat di HRPZ II, itu sebab mengapa saya letak awak di KKPC. Saya harap awak boleh perbetulkan mana yang patut ", begitu besar nampaknya harapan yang diberikan oleh Datin.

"Insya Allah, Datin. I'll try my very best!", aku harus positif.

Betul, positif mendepani cabaran terutamanya dalam bidang pengurusan; pengurusan manusia & pengurusan harta benda. Jangan stress stress ya, Puan AC! Hee, terasa kelakar pula apabila mendengar orang panggil aku sebegitu..Puan AC =)


Monday, December 06, 2010

Tamatlah Riwayat

Sayugia, pada minggu yang lepas aku mengalami sakit gigi yang bersangatan kuatnya. Sudah lama gigi gerahamku itu berlubang dan berkali-kali juga lubang itu ditampal disimen. Namun, entah mengapa setiap kali ditampal, tampalan itu akan tercabut jua akhirnya..huhu. Maka. lubang di gigiku itu menjadi semakin besar dan luas.

Setelah mendapat izin daripada bos, aku bergegas ke Klinik Pergigian Besar Kota Bharu untuk mendapatkan rawatan. Mujur masa menunggu tidak begitu lama. Aku dipanggil masuk ke bilik rawatan nombor 3 setelah lebih kurang 15 minit menunggu.

"Eh, Sarah!", aku menyapa doktor gigi yang bakal merawatku.

"Laa, Kak AC rupanya! Patutlah saya rasa macam familiar je dengan nama atas kad ni", ujar Doktor Siti Maisarah yang pertama kali kukenali sewaktu kursus induksi & BTN pada bulan Oktober yang lepas. Cucu Dato' ini sangat mesra sekali orangnya.

Setelah aku berdiam di atas kerusi khas, pemeriksaan ke atas gigi-gigiku dilakukan dan masalah dikenal pasti.

"Gigi geraham Kak AC ni dah bergoyang, lubang pun agak besar..dah sampai ke akar. Sebab itu gusi asyik bengkak dan ada abscess. Dalam keadaan macam ni, lebih baik dicabut sahaja. Kalau cabut sekarang, mungkin akan terasa sangat sakit. Jadi. Kak AC balik makan antibiotik dululah ya", panjang sekali laporan yang dikemukakan oleh Doktor Sarah.

"Itulah, memang dah nak kena cabut gigi ni. Emm, Sarah nak bagi antibiotik apa ya? Saya masih breastfeeding ni", aku terus bertanya sebaik sahaja mengetahui antibiotik akan dipreskripsikan oleh si doktor muda ini.

"Emm, kita bagi amoxycillin lah.. 500mg TDS. Metronidazole tak sesuai sangat untuk ibu menyusu", jawab Doktor Sarah.

Betul kata doktor. Memang secara faktanya, "amoxycillin is distributed into breastmilk in low concentration" dan "metronidazole has to be used with caution for breastfeeding mother". Dan aku, masih lagi mahu meneruskan penyusuan badan kepada Awatif yang sudah pun mencecah 8 bulan usianya. Jadi, secara relatifnya, amoxycillin lebih baik daripada metronidazole.

Setelah slip preskripsi diberikan kepadaku beserta dengan time-slip, aku bersalaman dengan Sarah dan bergegas keluar daripada klinik menuju ke farmasi tempat aku bekerja. Temujanji akan datang adalah pada 6 Disember.

Pada 6 Disember 2010, berakhirlah riwayat gigi gerahamku yang berlubang itu! Maka, inilah gambarnya yang sempat ku rakam. Disebelahnya ialah alat yang digunakan untuk mencabut gigi tersebut.


Gigiku selamat menjadi arwah..huhu.. Sakit yang dirasakan semasa gigiku ditarik sangatlah terperi meskipun berkali-kali ubat bius Mepivacaine disuntik di sekeliling gigi. Seolah-olah, ubat bius tersebut tidak berkesan sama sekali kepadaku.

Rawatan tersebut sekali lagi dikendalikan oleh Doktor Sarah. Kata doktor, "Kalau Kak AC rasa sakit sangat, angkat tangan". Justeru, sepanjang-panjang usaha 'mencabut nyawa' gigiku itu, tanganku asyik terangkat, tak pernah sekali pun aku jatuhkan. Saaaaakiiiiiiiiiitt!!! Huuuu...

"Sabar ya, Kak AC, sikit je lagi ni", si doktor menenangkanku yang memejam mata menahan kesakitan. Macam sakit nak bersalin pula lagaknya.

"OK, alhamdulillah, selesai!", mendengar kata-kata tersebut, aku terus membukakan mata. Fuuh..gauze yang diletakkan di gusi kugigit sekuat-kuatnya. Sakit berdenyut-denyut masih lagi terasa dan sehingga malamnya, darah masih lagi keluar.

Dan sekarang, di Awal Muharram ini, kesakitan itu tetap jua terasa tetapi dalam skala yang lebih kecil. Gigiku selamat berhijrah ke alam 'arwah'. Aku juga harus berhijrah! Berhijrah ke arah yang lebih baik..

..to be a better caliph of Allah!
A better wife
A better mother
A better daughter
A better friend
A better pharmacist
..and all in all, a better person!

SALAM MA'AL HIJRAH BUAT SEMUA..

MARI KITA JADIKAN HIJRATUR RASUL SEBAGAI MOTIVASI BUAT DIRI DEMI BERUBAH KE ARAH YANG LEBIH BAIK!



Sunday, November 21, 2010

Finally

Finally, I've submitted my PRP logbook on Nov 10, 2010! Although the submission was somewhat delayed for whatever reason, I feel very relieved at this very moment and now I am 'floating'. Why floating? Because now, I'm not officially 'tied' to any unit. I'll 'fly' to the destination wherever I was 'blown' to. If there is a call for me in TPN unit, by the will of God, I'll be there. Should there be a need for screening, filling and counter-checking in In-Patient Pharmacy, I'll be landing there too. And, whenever all junior PRPs will be having Forensic Exam tomorrow morning, I'll be substituting them for night shift. Whoah, it does sound that I am kind of a savior of the HRPZ II Pharmacy..haha!


So, right now, I'm waiting for my new posting which I hope that Kelantan still wants me. Alhamdulillah, my dear hubby got his favorite place at Cawangan Penguatkuasa Farmasi Kelantan. Insya Allah, once I know my new place, we'll be moving into our own new house. Living on our own; my hubby, my little cutie and me myself - just the three of us. Actually, it's the moment that I've been waiting for. Unless our small family stay together under one roof, we don't really know how to manage things accordingly. I hope that everything will be alright by then..ameen!
As for this blog, I've finally decided that I won't delete it. In fact, this is my corner that I've built for so many years. Too many sweet and sour things placed inside it that I I'll never find it anywhere else. I don't think that I'll be able to write the same things as I have written before. After all, I found that I have many supports behind me who say "don't delete!". To date, only one who agreed of deleting this blog. Thank you very much to all! Insya Allah, I'll be updating this blog regularly.

Wednesday, September 01, 2010

Delete Blog Ini: Setuju atau tidak?

Sudah lama aku terfikir tentang perkara ini.
"Aku mahu DELETE blog ini"
Alasannya,
  1. Tak sempat nak update blog
  2. Mahu fokus untuk menguruskan blog keluarga sahaja
  3. Rasa macam blog ini tak menyumbang sangat..huhu
Jadi,
"Aku mahu DELETE blog ini"
Kalian setuju atau tidak?
Sila respon dengan sejujurnya ya..
Respon kalian akan membantuku untuk membuat keputusan.
Terima kasih!

Sunday, August 22, 2010

Ramadhan Ini

Ramadhanku datang lagi. Namun, kedatangan Ramadhan pada kali ini terlalu berbeza caranya berbanding tahun-tahun yang sudah.

Ramadhan ini,

Aku bergelar ibu kepada seorang anak kecil yang kini berusia 4 bulan - solat sunat tarawih hanya mampu didirikan berseorangan di rumah selepas Awatif nyenyak tidur. Cuma sekali aku berkesempatan untuk solat di masjid dan ini menjadikan aku sering mengintai peluang untuk mengulanginya. Apa yang selalu terjadi, pabila si anak tidur, si ibu pun turut terlena sama sewaktu menyusukan anakanda tercinta. Lalu, tarawih dan tadarus Al-Quran dikerjakan pada dini hari. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada juga peluang! Terima kasih tak terhingga kepada Abang kerana tak jemu-jemu mengingatkan diri ini untuk sama-sama meningkatkan ibadah berbekalkan kudrat & peluang yang ada.

Ramadhan ini,

Aku masih lagi seorang PRP - harus lebih kuat semangat untuk bekerja meski badan kepenatan. Bahagian-bahagian kosong di dalam buku log itu perlu diisi walau dengan apa cara sekalipun! Terkejar-kejar ke sana sini itu lumrah. Kerja-kerja di hospital yang tak berkesudahan sering membuatkan aku pulang ke rumah pada lewat petang. Duduk berehat sekejap bersama suami serta bermain-main dengan anak sekejap dan azan pun berkumandang menandakan masuknya waktu maghrib & berbuka puasa. Masa kurasakan terlalu singkat buat kami!

Ramadhan ini,

Cabarannya adalah lebih daripada biasa. Aku seolah-oleh mengalami keletihan yang melampau sehingga sering saja terlelap sewaktu memandu. Ya Allah, jauhkan aku daripada kecelakaan jalan raya! Penyebabnya mungkin bukan satu. Mungkin kerana penat bekerja dan badan kurang tenaga. Pun begitu, aku masih bertekad untuk menyusukan anak secara eksklusif selagi diberi peluang oleh Allah. Jadual mengepam masih diteruskan seperti sebelum puasa demi mendapatkan hasil yang terbaik untuk disuap kepada anak.

Ya Allah,
Berikanlah kami kekuatan dan kesabaran dalam beribadah!

Ayuh semua..
Hidupkalah Pesta Ibadah ini!
Moga Lailatul Qadr bakal kita temui
Ameen ya rabb..

Wednesday, July 07, 2010

Bertabahlah!

Setahun hidup sebagai PRP memerlukan anda menjadi seorang yang TABAH. Peristiwa air muka dijatuhkan dikhalayak ramai oleh pegawai-pegawai senior merupakan suatu kelaziman yang amat menyakitkan. Pedih, namun hidup mesti diteruskan.

  • Hormatilah orang lain jika kita mahu orang lain menghormati kita
  • Manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan. Betulkan kesilapan itu dengan cara yang Nabi kita ajarkan
  • Bertabahlah dan usah kecewa kerna kita masih mempunyai DIA!

Sunday, June 13, 2010

Kembali Bekerja

7 Jun 2010..tarikh permulaan aku kembali bekerja sebagai seorang Provisionally Registered Pharmacist (PRP). Dikhabarkan bahawa sahabat-sahabat yang mula bekerja pada tarikh yang sama dengan aku iaitu Ogos 2009 telah pun mengisi borang penempatan sebagai Fully Registered Pharmacist (FRP) dan mereka bakal menghabiskan tempoh latihan dalam perkhidmatan pada bulan Ogos ini. Aku pula bakal melanjutkan lagi tempoh PRPku selama dua bulan lagi. Bermakna, dalam bulan Oktober jugalah baru aku boleh menjadi FRP. Itu pun, aku tidak tahu ke mana aku akan dihantar bertugas..mungkin saja kekal di HRPZ II, atau ditempatkan di mana-mana hospital daerah mahupun klinik kesihatan. Harap-harapnya dapat bertugas satu negeri dengan suami.

2 minggu pertama ini aku attached di Cawangan Penguatkuasa Farmasi (CPF) Negeri Kelantan. Banyak pengalaman baru yang dikutip dan pastinya pengalaman-pengalaman ini tidak terdapat dalam hospital/clinical setting. Antaranya ialah:
  • menolong menyediakan investigation paper untu kes-kes serbuan yang telah dilakukan
  • membuat pemeriksaan di klinik-klinik perubatan dan premis-premis yang berkaitan
  • menyediakan laporan pemeriksaan yang dibuat
  • membantu mengendalikan barangan eksibit
  • membantu pemeriksaan di pintu masuk ke Malaysia (entry point), Rantau Panjang
  • mengendalikan pameran berkenaan ubat-ubatan
  • menghadiri perbicaraan kes di Mahkamah Majistret Kota Bharu

Tapi, dalam banyak-banyak perkara baru yang aku lalui ini, ada satu peristiwa yang tak boleh aku lupakan. Pada hari pertama aku kembali masuk kerja, anakku Awatif meragam dan hanya berhenti menangis setelah keletihan. Hisap susu perahan yang diletakkan dalam botol susu pun tak nak hinggakan mak cik pengasuh pun sudah hilang arah, dah tak tahu nak buat macam mana. Mengetahui hal ini, aku menjadi semakin sedih dan tak semena-mena aku menangis. Mujurlah suamiku bekerja shift petang pada hari tersebut. Akhirnya, suamiku membawa Awatif ke tempat kerjaku pada waktu rehat tengahari untuk disusukan. Fuuuhhh..cobaan!

Alhamdulillah, setelah 2 minggu berada dalam proses adaptasi yang disertai dengan solat hajat pada setiap malam, menguruskan Awatif kini menjadi semakin mudah Stok susu perahan yang ditinggalkan juga sudah semakin banyak dihisap. Lega hatiku! Membesarkan anak memang mencabar. Betul-betul perlu banyakkan minta pertolongan daripada Allah dengan SABAR dan SOLAT.

Monday, May 31, 2010

Di Sini, Di Sana

Di sini,
  • Judi & arak dihalalkan..sudah terang lagi bersuluh bertentangan dengan agama. (sila rujuk tafsiran ayat 219 Surah Al-Baqarah). Kalau begitu, kenapa pelacuran tidak dihalalkan oleh kerajaan? Kan bagus kalau ada lesen untuk buka premis pelacuran..kalau ada lesen, kerajaan boleh dapat untung. Siapa yang tak ada lesen, barulah akan dikenakan tindakan. Kalau kena tindakan, duit saman akan masuk poket kerajaan..jadi, kerajaan masih boleh dapat untung. Nanti duit itulah yang akan digunakan untuk biaya projek untuk rakyat. Duit itu jugalah yang akan digunakan untuk menaikkan gaji penjawat awam. Hmm, sebenarnya kita sekarang ni tengah makan duit haram ke?
  • Tanah air semakin tergadai, rakyat masih mamai.. Pemimpin jual tanah air kepada negara asing. Aku rasa Malaysia semakin tak selamat..ye la, celik mata je tahu-tahu tanah kita dah jadi milik orang..tak ke haru? Kalau hari ini sebidang tanah dah terlepas, esok agak-agaknya berapa ye?
  • Pembuangan bayi semakin berleluasa, kerajaan siap nak buka pusat untuk menempatkan bayi-bayi yang tak dikehendaki lagi. Uih, makin seronoklah anak-anak muda yang berajakan syaitan kerana akibat tindakan zina mereka nanti bakal mendapat perlindungan dan pembelaan. Jadi, tak ada masalahlah kalau 'buat' banyak kali pun kan?
  • Subsidi beberapa barangan harian akan dihapuskan. Jadi, harga barang akan naik walaupun gaji tak naik-naik. Aik, kata ekonomi negara stabil & berkembang? Nampak sangatlah duit rakyat tak diuruskan dengan baik. Betullah, rakyat akan didahulukan untuk merasai kesan kebobrokan pencapaian pemimpin.
Di sana,
  • Misi kemanusiaan ke Gaza disekat. Orang awam menjadi mangsa Zionis laknatullah. Tapi, mereka tetap mara, nekad menghulurkan bantuan kepada umat seagama. Malah, yang berlainan agama pun menghayati nilai manusiawi yang semakin rakus diratah Zionis. Apa pula tindakan kita di sini?
  • Bayi-bayi Muslim terus dilahirkan di Palestin. Mereka ini bakal pembela agama Allah, mereka ini zuriat yang sangat-sangat dikehendaki. Kelahiran mereka mendapat perhatian ibu bapa, tidak sekali-kali mereka ditinggalkan di tepi longkang atau di dalam semak. Mereka diasuh dan ditarbiyyah dengan jiwa seorang pejuang!
  • Kerajaan mereka sangat mementingkan kebajikan rakyat. Sebab itulah mereka tidak sekali-kali sanggup tanah dan minda mereka dijajah orang asing biar sejengkal cuma. Mereka lawan habis-habisan walau nyawa menjadi taruhan. Betapa patriotiknya mereka! Pentadbiran mereka berlandaskan Islam yang sebenar, bukan ambil yang mana suka sahaja.
Allahummansuril islaama wal muslimiina fii kulli makaan wa fii kulli maydaan..ameen ya Rabb!

Saturday, May 15, 2010

Happy Anniversary, Abang!


15/5/2009-15/5/2010Justify Full
Alhamdulillah, sudah genap setahun pernikahan kami.
Satu tahun yang penuh dengan warna-warni.
Terasa bagaikan baru kelmarin aku dilamar oleh si dia.
Lamaran yang menenangkan jiwaku yang resah dalam siri-siri istikharah.
Syukur, Tuhan mendatangkannya tepat pada waktunya!

Seolah-olah baru malam tadi aku mencium tangannya, seraya bersambut dengan ciuman hangatnya di dahiku.
Dia suami dan aku isteri.
Setahun ini benar-benar mengajarku erti sebuah perkongsian dalam melayari bahtera kehidupan.
Menyayangi dan disayangi..
Mencintai dan dicintai..
Segala-galanya pasti indah jika bersulamkan redha Ilahi..

Happy 1st Anniversary, Abang!

Terima kasih kerana memberi peluang kepada Sayang untuk menjadi suri hidup Abang..
Terima kasih kerana membawa Sayang ke dalam syurga kebahagiaan bersama Abang..
Moga cinta ini berpaksikan keredhaan daripada Yang Mencipta Cinta..ameen ya rabb!

p/s: Thank you very much, Abang, for the wonderful dinner! I really like the exchanging-love-letter-session ;-)

Monday, May 10, 2010

Selamat Hari Ibu!

"Sayang, Selamat Hari Ibu! Sekarang ni, Sayang berada di maqam yang lebih tinggi. Terima kasih kerana menjadi ibu kepada anak Abang. Abang tahu, Sayang seorang ibu yang hebat!"

Pertama kali aku menerima ucapan "Selamat Hari Ibu". Ucapan ini bukan daripada si anak, tetapi daripada suamiku tercinta. Terima kasih, Abang! Betapa bersyukurnya aku kerana diberikan Allah peluang untuk menjadi ibu kepada zuriat insan yang sangat kucintai, terus menjadikan perjalanan hidupku sebagai seorang hambaNya lebih bererti. Moga-moga, apa yang diucapkan oleh suamiku dimakbulkan Tuhan.

Benarlah seperti apa yang dikata, hanya orang yang merasa yang akan mengetahuinya, hanya orang yang melaluinya akan lebih menghayatinya. Betapa menjadi seorang ibu yang hebat bukan sesuatu mudah..bukan sedikit yang perlu dikorbankan, banyak yang perlu diusahakan. Setelah diri sendiri bergelar ibu, aku kini belajar untuk semakin menghargai jasa-jasa ibuku. Menghormati ibu bukan sekadar suatu tuntutan fitrah, tetapi ia juga merupakan satu tuntutan syariat. Tadabbur sajalah ayat-ayat Al-Quran & Hadith yang mengajak kita supaya berbakti kepada ibu bapa!

Harapanku..
Aku ingin menjadi IBU yang terbaik buat anak-anak
Aku juga ingin menjadi ISTERI yang terbaik buat suami
Ameen ya Rabb!

SELAMAT HARI IBU saya ucapkan kepada ibu-ibu sekalian terutamanya kepada:
  • Ibuku Normah binti Din
  • Mertuaku Ashiah binti Shafie
  • Nendaku Kelthom binti Majid
Thank you for being the wonderful moms!

ROBBIGHFIRLII WALIWAALIDAYYA WARHAMHUMA KAMA ROBBAYAANI SOGHIRAA..

Tuesday, April 20, 2010

14 Hari

Hari ini genap 2 minggu usia si kecil Awatif. Entah berapa kilo dah agaknya anakku ini. Ketika lahir, beratnya 2.97kg. 10 hari kemudian, dah pun naik ke 3.45kg. Alhamdulillah, setakat ini, Awatif tak banyak meragam. Dia cuma akan menangis setiap 2 atau 3 jam sekali kerana lapar. Setelah disusukan dan lampinnya ditukar, Awatif akan kembali tidur..hobi si kecil.

Dengan dagu sejemput milik suamiku dan kedua-dua belah pipinya yang semakin montel, semua orang geram melihatnya terutamanya ibu-ibu saudaranya Izzah a.k.a. Cik Sue dan Hanin a.k.a. Cik Nin yang selalu sahaja menyentuh dan terkadang mencubit manja pipi Awatif. Pagi-pagi lagi, sebelum melangkah ke sekolah, mereka akan menjenguk anak saudara mereka dahulu. Ummiku a.k.a neneknya pun begitu. Keadaan yang sama juga berlaku sejurus mereka pulang dari sekolah.

Suamiku, baba Awatif, kini semakin pandai menguruskan bayi..dah boleh dinobatkan sebagai bapa mithali! Dari tukar lampin hingga ke menidurkan anak, semuanya bisa diuruskan. Tahniah, Abang! Kita sama-sama berusaha untuk jadi ibu bapa yang terbaik ye.. Seringkali timbul perasaan kasihan terhadap suami kerana turut terpaksa berjaga malam apabila Awatif merengek, sedangkan di siang harinya beliau sudah penat bekerja. Apakan daya, inilah antara cabaran-cabaran yang akan ditempuhi oleh ibu bapa yang berkerjaya. Aku pun bakal menghadapinya setelah kembali semula ke alam pekerjaan selepas habis cuti 60 hari ini.

Oh, terasa cepatnya masa berlalu! Kasihan Awatif..nanti akan ditinggalkan oleh baba & mamanya yang perlu keluar bekerja. Keluar rumah pada jam 7 pagi, sampai di rumah pada jam 6 petang. Sungguh hati ini tidak rela berjauhan dengan si anak! Sekali lagi, cita-citaku untuk menjadi suri rumah sepenuh masa semakin membara..huhu..